ARKIB : 18/07/2003
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
KEEMPAT-empat perseorangan
badminton negara yang akan bertanding pada Kejohanan Dunia di Birmingham, 28
Julai hingga 3 Ogos ini telah disiapkan untuk menentang mana-mana pemain.
Persiapan tersebut dibuat bagi
membolehkan mereka bersedia berdepan dengan sebarang undian yang bakal
dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) hari ini.
Ketua jurulatih perseorangan
negara, Misbun Sidek percaya undian bukan satu masalah besar, biarpun mengakui
ia memberi sedikit kelebihan kepada pemain pilihan bagi mengelak daripada
menentang pemain utama di pusingan awal.
``Saya cuba melakukan persediaan
secara rambang iaitu tanpa terlalu spesifik kepada satu.. dua pemain saja,''
kata Misbun semalam.
``Mungkin mereka akan jumpa
Taufik Hidayat (Indonesia), mungkin juga Chen Hong atau Xia Xuanze (China) pada
peringkat yang tidak diduga, jadi mereka harus sentiasa bersedia.
``Kita telah mengkaji permainan
pemain yang dianggap paling mencabar pada kejohanan ini, sama ada menerusi
pengalaman pemain itu sendiri atau menonton menerusi pita rakaman.''
Menurut Misbun, setiap pemain
negara telah dibekalkan dengan `senjata' sendiri iaitu selepas mengenal pasti
kelemahan lawan dan kekuatan yang ada pada diri mereka sendiri.
Namun, keupayaan menggunakan dan
mengawal senjata tersebut ketika berada di atas gelanggang akan menjadi faktor
penentu sejauh mana mereka boleh melangkah.
Sementara itu Misbun juga
berkata, ketika kebanyakan pemain bimbang bakal diundi menentang pemain pilihan
pada peringkat awal, beliau berpendapat bertemu pemain bukan pilihan kadangkala
lebih menyukarkan.
Beliau percaya kebanyakan
jurulatih serta pemain yang akan beraksi pada kejohanan ini hanya mengkaji
permainan pemain tumpuan tetapi terlepas pandang kepada pemain tidak dikenali.
``Kita mungkin ada persiapan yang
cukup untuk bertemu pemain-pemain utama dunia kerana mempunyai banyak maklumat
mengenai mereka, tetapi kita tidak tahu bagaimana keadaan pemain baru atau
tidak ternama.
``Lagipun mereka turun hanya
untuk bermain. Menang ke atas pemain pilihan adalah satu bonus, kalah pula
tidak memberi apa-apa kesan, jadi pemain ini langsung tidak berhati-hati.''
Justeru Misbun mengingatkan
anak-anak buahnya agar tidak terlalu lega apabila terlepas daripada undian
bertemu pemain pilihan atau mengambil mudah pertemuan dengan pemain kurang
ternama.
Sebaliknya, mereka harus
menganggap setiap perlawanan sama seperti perlawanan akhir kerana pada
pertandingan kalah-mati mereka boleh tersingkir hanya kerana satu kesilapan.
Pemain nombor satu negara, Wong
Choong Hann, juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim, Mohd. Roslin Hashim
dan Lee Tsuen Seng akan memikul cabaran perseorangan negara.
Sementara cabaran beregu pula
diketuai oleh bekas pasangan nombor satu dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng
dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d6B9MKe1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan