Jumaat, 13 Oktober 2017

Hafiz menang tapi Misbun tetap resah

ARKIB : 16/08/2007

KUALA LUMPUR – Aksi tidak konsisten Muhammad Hafiz Hashim meresahkan jurulatihnya, Misbun Sidek menjelang pertemuan dengan bintang baru India, Anup Sridhar yang mengejutkan juara Olimpik, Taufik Hidayat pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Juara Seluruh England 2003 itu sering diejek oleh kira-kira 5,000 penonton tempatan yang resah melihat permainan tidak menentunya, yang kerap memberikan mata mudah kepada lawan tidak ternama, Scott Evans dari Ireland sebelum menang 21-19, 14-21, 21-11 dalam masa 41 minit.

Lebih meresahkan, Hafiz kelihatan memegang belakang badannya seperti menahan kesakitan sejurus tamat perlawanan sebelum terus memasuki bilik rawatan dan dikatakan tidur sebaik mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun Misbun menegaskan, keadaan pemain itu adalah baik dan dia hanya memerlukan sedikit rehat sebelum berdepan perlawanan yang lebih sukar menentang Anup hari ini.

“Hafiz tidak konsisten,” kata Misbun sebaik melihat anak didiknya itu melepaskan set kedua dengan mudah selepas kerap melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Dia tidak boleh bermain seperti hari ini jika mahu menang ke atas pemain India itu, kalau begini cara dia bermain, Hafiz memang dalam masalah. Dia perlu lebih agresif dan saya akan fikirkan strategi yang sesuai,” kata Misbun.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vOMuL5BS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 12 Oktober 2017

Buktikan saya salah – Misbun



ARKIB : 07/08/2007

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR – Jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek mencabar Muhammad Hafiz Hashim agar membuktikan bahawa beliau silap apabila menganggap bekas juara Seluruh England itu tidak punya harapan untuk muncul juara dunia.

Misbun ketika ditanya apakah peluang anak buahnya itu untuk merangkul kejuaraan dunia menegaskan, beliau tidak meletakkan apa-apa harapan kepada Hafiz, sebaliknya lebih yakin kepada kemampuan Lee Chong Wei.

Ketika ditanya lagi, adakah beliau tidak bimbang kenyataannya itu mampu menjatuhkan moral Hafiz ketika kejohanan hanya tinggal kurang seminggu untuk dimulakan, Misbun berkata: “Dia tidak patut rasa kecil hati.

“Kalau dia rasa apa yang saya katakan itu tidak betul, maka dia kena buktikan saya salah.’’

Kata Misbun lagi, beliau tidak mempertikaikan komitmen juara Seluruh England 2003 itu pada sesi latihan yang dianggapnya bertambah baik, namun keadaan fizikalnya masih belum berada di tahap meyakinkan.

Permainan Chong Wei sebaliknya lebih meyakinkan dengan gerakan pantas, malah juara Terbuka Indonesia itu mampu mencetus kebimbangan lawan, termasuk juara dunia, Lin Dan dan juara Olimpik, Taufik Hidayat.

Bagaimanapun, kata Misbun, Hafiz dan Chong Wei mempunyai satu sikap positif yang sama, keghairahan untuk bermain, dan itu ditunjukkan mereka sepanjang sesi latihan.

Kedua-dua pemain, katanya, sering berlumba untuk tiba paling awal pada setiap sesi latihan kerana mahu menjadi orang pertama mendapat tunjuk ajar jurulatih.

Malah, kata Misbun, biar pun latihan hanya dimulakan dari jam 8 pagi, namun ada kalanya kedua-dua pemain itu tiba seawal 6.15 atau 6.30 pagi.

“Saya tidak pernah melihat situasi sebegini, kedua-dua mereka sangat bersemangat untuk berlatih dan bersaing sesama sendiri siapa yang dapat memulakan latihan paling awal.

“Ia satu sikap yang positif dan saya harap keghairahan itu diteruskan sehingga kejohanan dan tidak hanya setakat dalam latihan,’’ katanya lagi selepas sesi latihan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Hafiz mengakui, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk muncul juara dunia tahun ini, namun dia mengakui harus melakukan sesuatu untu menyelamatkan kariernya.

Kata Hafiz lagi, pencapaiannya tidak harus hanya diukur dengan kejuaraan, tetapi kemampuan mengalahkan nama-nama besar seperti Taufik atau Lin Dan, yang sekali gus mengembalikan keyakinan.

“Saya tidak pernah berfikir sebegitu jauh (muncul juara dunia) pada kejohanan ini kerana saya tahu di mana kedudukan saya, tetapi saya janji akan memberikan permainan terbaik saya.

“Amat penting untuk saya mengalahkan Taufik sekiranya kami bertemu di pusingan ketiga. Jika saya menang pertemuan kami, semuanya pasti lebih baik kerana saya memerlukan sesuatu yang besar untuk mengembalikan keyakinan,’’ katanya.

Hafiz, 25, yang membuat penampilan keempat pada Kejohanan Dunia berkata, kali terakhir dia bertemu Taufik adalah pada suku akhir Sukan Asia di Busan 2002, yang menyaksikan jaguh Indonesia itu meraih pingat emas dalam sistem 15 mata.

“Kami tidak pernah bertemu dalam sistem 21 mata, tetapi saya rasa Taufik tidak mempunyai masalah bermain dalam apa juga sistem. Pada saya dia seorang pemain yang mampu memenangi sebarang perlawanan kalau dia mahu dan kalah perlawanan itu kalau dia tidak berminat,’’ kata Hafiz.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vI2KTtF9
© Utusan Melayu (M) Bhd