Isnin, 27 Mac 2017

Datin Rukinah dalam kenangan - Perginya `Ibu Mithali' badminton negara

ARKIB : 31/01/2003
Oleh MOHD. TAUFEK RAZAK
HADIRNYA membawa sinar dan kemegahan kepada persada sukan badminton negara.

Namun perginya Datin Rukinah Sulaiman, 61, ibu yang telah melahirkan enam pemain badminton negara ke rahmatullah pagi semalam ternyata satu kehilangan yang amat dirasai.

Paling merasai kehilangannya sudah pasti anak-anak Allahyarham iaitu Misbun, Razif, Jalani, Rahman, Rashid dan Zamaliah.

Walaupun aksi badminton sudah lama ditinggalkan, keenam-enam pemain itu sudah pasti tidak dapat melupakan bagaimanapun kehadiran ibu mereka menjadi penyuntik semangat sehingga membawa mereka mampu menggegarkan dunia.

Ini diakui bapa kepada pemain terbabit, Datuk Sidek Abdullah Kamar yang menyifatkan isterinya adalah antara orang yang bertanggungjawab menaikkan semangat anak-anaknya sejak daripada penglibatan awal hinggalah menjadi jaguh dunia.

Katanya, tanpa sokongan Allahyarham, beliau sendiri tidak mampu membentuk bakat anak-anaknya itu secara bersendirian.

Malah dorongan isterinya kerap menjadi penawar di waktu duka dan putus asa.

``Apa yang saya lakukan dalam meningkatkan permainan badminton anak-anak, dia tidak pernah membantah malah menyokong dengan begitu kuat dari belakang.

``Makan anak-anak tidak pernah kurang dan beliau menjaganya dengan begitu teliti agar mereka sentiasa bertenaga,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Banting, semalam.

Hakikatnya kesungguhan gandingan pasangan suami isteri itu memberi dorongan dan suntikan semangat tidak hanya di rumah sahaja.

Sebaliknya selepas anak-anaknya sudah berjaya pun, tangan ibu yang pernah menghayun buaian itu terus bertepuk dan bersorak memberikan sokongan di tepi gelanggang.

Seperti belangkas, Sidek dan Rukinah pergi ke mana sahaja tempat yang mampu untuk menyokong anak-anaknya bermain.

``Dia sentiasa mengajak saya menyaksikan anak-anak kami bermain. Katanya, kalau abang tak ada, tak seronoklah,'' kata Sidek mengimbau kenangan lalu.

Menurutnya, seperkara yang membuatkan anak-anaknya bermain dengan penuh semangat ialah setiap kali melihat ibunya datang menyaksikan mereka bermain.

``Tetapi adakalanya, apabila anak kami kalah, dia pasti akan pandang saya yang duduk di sebelah seperti bertanyakan sesuatu.

``Itulah isteri saya yang begitu mengambil berat tentang prestasi anak-anaknya hinggakan sakit-sakit pun dia sanggup datang,'' jelasnya.

Sidek berkata, bagi anak-anaknya, masakan ibu adalah yang paling sedap dan hingga ke hari ini, sup ekor adalah hidangan yang tidak pernah lekang di meja hidangan setiap kali anak-anaknya berkumpul.

Kini sup ekor masakan Rukinah sudah tiada lagi tetapi yang tinggal adalah jasanya membesarkan anak-anak yang berjaya mengharumkan nama negara.

Tentunya yang paling merasai kehilangan ibunya ialah Rashid, 34, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac ini.

Menurut Sidek, selain gembira dan tidak sabar menunggu tarikh perkahwinan itu, Allahyarham tidak henti-henti membincangkan persiapan majlis itu.

``Maklumlah usia Rashid itu sudah agak lewat. Dia risau kerana Rashid tak kahwin-kahwin lagi.

``Sehari sebelum meninggal dunia, dia bertanyakan pandangan saya untuk tukar langsir rumah dan membuat sedikit pengubahsuaian ke atas rumah kami ini.

``Tapi nampaknya, dia tak sempat untuk melihat semuanya itu,'' jelas Sidek.

Datin Rukinah meninggal dunia pada pukul 9 pagi semalam di Hospital Pakar Ampang Puteri selepas tidak sedarkan diri sejak petang kelmarin.

Beliau diserang sakit jantung selepas selesai menikmati hidangan makan tengahari di rumah Misbun di Kelana Jaya.

Allahyarham meninggalkan seorang suami, lapan anak (6 lelaki, 2 perempuan) dan 22 orang cucu.

Pemergian Rukinah tentunya menjadi satu contoh dan ingatan bagaimanapun tangan ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.

Seluruh warga kerja Utusan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Sidek dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh isterinya.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWN4Nllq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan