ARKIB : 01/12/2002
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan
mengkaji permohonan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meminta badan sukan
itu membayar gaji kedua-dua jurulatihnya yang baru dilantik kelmarin.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira
Mazlan Ahmad berkata, beliau tidak dapat membuat sebarang keputusan pada masa
ini kerana masih belum menerima surat permohonan BAM.
Menurutnya, antara aspek yang
akan dipertimbangkan sebelum memberi persetujuan adalah gaji yang dituntut
serta keperluan untuk mempunyai dua ketua jurulatih baru.
``Kami akan kaji dulu sama ada
perlu atau tidak membayar gaji kedua-dua jurulatih,'' kata Mazlan ketika
dihubungi di Mekah, semalam.
``Ketika Indra (Gunawan) dulu,
kami hanya membayar gaji beliau, sementara gaji (jurulatih beregu, Park)
Joo-bong dibayar sendiri oleh BAM.
``Tetapi kali ini, kalau mereka
(BAM) mahu MSN bayar gaji kedua-dua jurulatihnya, kita kena tengok dulu apa
keperluan untuk berbuat demikian.''
Bagaimanapun Mazlan berkata, ia
(membayar gaji dua jurulatih) bukan perkara besar dan MSN tidak menghadapi
masalah untuk berbuat demikian jika BAM menyertakan sebab-sebab yang baik.
Kelmarin, BAM mengumumkan
jurulatih kelab Nusa Mahsuri, Misbun Sidek dan bekas jaguh beregu negara, Yap
Kim Hock sebagai ketua jurulatih perseorangan dan beregu kebangsaan yang baru.
Menurut presidennya, Datuk Nadzmi
Salleh beliau berharap MSN dapat membayar gaji sepenuhnya kepada kedua-dua
jurulatih terbabit seperti yang diperoleh Indra.
Katanya lagi, jika MSN bersetuju
membayar gaji mereka, kontrak sebenar akan dikeluarkan oleh MSN tetapi jika MSN
hanya membayar sebahagian daripadanya ia akan dikeluarkan oleh BAM.
Misbun, 40, mengambil alih tempat
jurulatih dari Indonesia, Indra, manakala Kim Hock, 32, menggantikan bekas
jurulatih dari Korea, Joo-bong, yang kedua-duanya tidak disambung kontrak.
Walaupun keputusan tidak
memperbaharui kontrak Indra pada awalnya menimbulkan kontroversi kerana
jurulatih tersebut memiliki rekod baik sepanjang dua tahun bertugas, namun BAM
menegaskan sekarang adalah masa yang sesuai untuk menggunakan khidmat jurulatih
tempatan.
Tindakan tersebut, dilihat sekali
gus menamatkan pergantungan kepada jurulatih luar dan memberi peluang yang
lebih terbuka kepada jurulatih tempatan membuktikan komitmen mereka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPIccjez
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan