
RKIB : 12/09/2000
BARISAN pemain badminton negara ke Sukan Olimpik Sydney,dari kiri Choong
Hann, Ewe Hock, Kim Hock, Wan Wah, Tan Fook dan Soon Kit memberi pose istimewa
di KLIA, Sepang, semalam sebelum berlepas ke Sydney. - Gambar SHAMSUL ARIFFIN
CHE OMAR
PEMAIN badminton negara yang akan menyertai Sukan Olimpik Sydney 15
September ini masih berpeluang memenangi pingat emas meskipun terpaksa berdepan
dengan laluan getir apabila terpaksa berdepan dengan pemain handalan dunia pada
peringkat awal.
Ketua Jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek berkata, pelbagai faktor akan
membantu, sama ada memberikan kelebihan atau kelemahan kepada mereka semasa di
Australia.
Katanya, pengalaman Rashid Sidek pada Sukan Olimpik yang lalu di Atlanta
menunjukkan cuaca mempengaruhi permainan sehingga mampu mengalahkan Haryanto
Arbi sekali gus membawa pulang pingat gangsa.
''Pada saya, siapa yang masuk bertanding masih berpeluang untuk menang
kerana yang penting cukup persiapan.
''Ini kerana di Sydney keadaan cuaca serta pemakanan akan mempengaruhi
permainan seseorang pemain,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas undian yang bakal dihadapi oleh
Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang akan berdepan dengan pemain muda China, Yu
Jinhao-Chen Qiqiu.
Jika berjaya menjinakkan pasangan China itu, mereka perlu mengatasi
pasangan utama Korea Selatan, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon pada pusingan kedua.
Selepas mengharungi halangan kedua, pasangan negara perlu turun menentang
pemenang pingat emas empat tahun lalu dari Indonesia iaitu Ricky Subagja-Rexy
Mainaky di suku akhir.
Pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann dijangka berdepan pemain
China, Xia Xuanze di suku akhir, manakala Ong Ewe Hock diramal menentang
pilihan pertama Indonesia, Taufik Hidayat.
Begitu juga pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah terpaksa berdepan dengan
juara Terbuka Malaysia, Flandi Limpele-Eng Hian dari Indonesia.
Mengulas lanjut, Misbun berkata, beliau melihat prestasi pemain negara pada
kejohanan Terbuka Malaysia baru-baru ini dalam keadaan baik dan mampu membuat
kejutan.
Bagaimanapun katanya, para pemain negara masih perlu memperbaiki beberapa
kelemahan kecil seperti kepantasan memungut mata dan menjaga kecergasan
fizikal.
Oleh: JAMDI NASIR
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b0rO1f7S
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan