Selasa, 14 Mac 2017

Misbun, Indra kongsi cerita



 
ARKIB : 20/01/2001
MISBUN SIDEK.

Menurut Misbun, adalah tidak praktikal untuk berbincang soal pemain dan latihan kerana Nusa bukan ahli gabungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, Nusa sebagai kelab profesional, mempunyai rancangan mereka sendiri dalam membangunkan pemain dan tidak akan berkongsi strategi itu dengan sesiapa.

Walaupun Nusa dan BAM mempunyai matlamat yang sama - melahirkan pemain badminton yang berwibawa, tetapi pada dasarnya mereka saling bersaing kecuali untuk kejohanan berpasukan seperti Sukan SEA dan Piala Thomas.

"Saya bukan orang yang sesuai diajak berbincang mengenai program latihan pemain negara kerana saya bukan di bawah payroll (penggajian) BAM,'' kata Misbun, semalam.

"Walaupun saya mungkin memiliki kepakaran, tetapi ia adalah untuk pemain di bawah kendalian saya,'' katanya lagi.

Menurut Misbun, tugas meningkatkan pemain di bawah naungan BAM merupakan tanggungjawab pegawai yang dilantik badan badminton kebangsaan itu.

Katanya, sebagai orang yang "dibayar'' untuk tugas tersebut, mereka harus memikirkan sendiri cara dan keperluan dalam memenuhi tuntutan badminton negara.

"Saya tidak ada masalah kalau hendak jumpa, tetapi tiada apa hendak dibincangkan,'' kata Misbun.

"Jika saja berjumpa untuk berkongsi cerita tidak kisahlah, tetapi kalau kongsi kepakaran atau latihan ia sama sekali tidak praktikal.''

Misbun berkata, soal berkongsi kepakaran sepatutnya tidak timbul kerana kedua-dua pihak mempunyai platform yang berlainan.

Bagaimanapun, Nusa sedia bekerjasama jika ada pemainnya yang dipanggil untuk mewakili negara pada kejohanan berpasukan.

Dan, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh dalam pertemuan pertama kedua-dua pihak tidak dalam dulu.

"Saya tidak ada masalah melepaskan Roslin (Hashim) atau mana-mana pemain kami menjalani latihan bersama BAM kalau untuk kejohanan berpasukan.

"Tetapi bagi menghadapi kejohanan individu tidak mungkin itu akan berlaku. Saya sudah tentu ada strategi dan cara saya sendiri begitu juga dia.''

Misbun mengakui, Indra ada menghubunginya kelmarin dan menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan, tetapi dia mempunyai tugas luar ketika itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bMSPhG1q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan