ARKIB : 29/04/2001
Oleh: NIZAM ABDUL HAMID
JURULATIH kelab badminton
profesional Nusa Mahsuri, Misbun Sidek lebih berminat untuk melatih pemain
kelabnya sendiri kerana tidak melibatkan jumlah pemain yang terlalu ramai.
Menurutnya, adalah lebih mudah
untuk membentuk dan melahirkan pemain yang baik dalam kumpulan yang kecil
kerana jurulatih dapat mengenalpasti kelemahan dan tahap permainan seseorang
pemain itu.
Katanya, kejayaan itu telah
dibuktikan oleh Nusa Mahsuri melalui pencapaian pemain utamanya iaitu Roslin
Hashim yang baru sahaja menjuarai Terbuka Switzerland dan Terbuka Jepun.
``Saya telah melatih Roslin
sehingga dia menjadi juara dan kini membimbing Hafiz Hashim yang permainannya
semakin baik,'' katanya ketika ditemui selepas mengendalikan Kem Bakat
Badminton di Alor Setar semalam.
Misbun berkata, beliau bukan
tidak berminat untuk berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
tetapi tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melatih jumlah pemain yang
ramai.
Menurutnya, Presiden BAM, Datuk
Nadzmi Salleh sendiri telah mengajukan tawaran itu kepadanya demi kepentingan
badminton negara.
Katanya, beliau mungkin
menerima tawaran BAM untuk menjadi jurulatih tetapi persatuan itu juga perlu
mengambil beberapa orang lagi jurulatih bagi mengimbangi jumlah pemain.
``Saya telah mencadangkan
kepada BAM supaya jumlah pemain yang sesuai untuk seorang jurulatih ialah empat
orang,'' tambahnya.
Katanya, sebagai jurulatih
matlamatnya adalah untuk melahirkan pemain yang baik dan ia mungkin tidak dapat
dilakukan jika pemain yang dilatih terlalu ramai.
Beliau berkata, jurulatih bukan
sahaja setakat melatih pemain tetapi juga perlu meluangkan masa dan turun
bermain bersama supaya mereka sentiasa dapat mengikuti prestasi pemain
tersebut.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bafXG0pT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan