ARKIB : 02/01/2002
JURULATIH Nusa Mahsuri, Misbun
Sidek mahu melihat kejayaan tiga pemain adik-beradik Roslin, Hafiz dan Mohamad
Hashim yang dilatihnya memahat nama Malaysia di arena antarabangsa.
Misbun berkata, beliau telahpun
merealisasikan cita-cita pertama mengikuti jejak langkah bapanya melatih
sekumpulan pemain berpotensi dari satu keluarga.
Kini harapannya adalah untuk
melihat anak didiknya itu memahat nama negara di kebanyakan kejohanan
antarabangsa yang disertai.
``Wawasan pertama saya untuk
memberi ilmu dan melatih sekumpulan pemain adik beradik menjadi pemain yang
baik telah tercapai dan sedang dibuktikan oleh Roslin (Hashim) dan
adik-adiknya.
``Kini saya berharap mereka
akan menggunakan ilmu dan semangat yang saya berikan ini untuk meraih
kejayaan,'' katanya yang ditemui selepas menjalani latihan di Kompleks Sukan
MPPJ, Kelana Jaya, semalam.
Menurut Misbun, setiap
kejuaraan di kejohanan antarabangsa sangat penting untuk pemain.
``Kemenangan di kejohanan besar
mahupun kecil merupakan saat-saat yang dinantikan pemain.
``Apa saja gelaran memberi
kepuasan untuk mereka dan juga jurulatih yang melatihnya,'' ujarnya.
Selain daripada memenangi
pertandingan, bekas pemain kebangsaan negara itu juga berharap untuk melihat
lebih daripada seorang pemainnya dipilih untuk memikul cabaran negara pada
kejohanan berprestij Piala Thomas di Guangzhou.
``Saya berharap mereka akan
memilih pemain terbaik untuk beraksi di Piala Thomas kali ini,'' katanya.
Sementara itu, Misbun berkata,
beliau akan meneruskan usahanya melahirkan lebih ramai pemain berpotensi
seperti sekarang.
``Apa yang saya ada ialah
semangat dan itulah yang ingin saya salurkan kepada pemain-pemain saya dan
terpulanglah kepada mereka untuk menggunakan segala ilmu dan sengat yang diberi
untuk mencipta kejayaan masing-masing,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bqAHi1oU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan