Jumaat, 31 Mac 2017

Misbun guna latihan biasa



ARKIB : 26/04/2003
Oleh Norzie Mohd. Khasbi

LATIHAN khas yang pernah dibayangkan ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Misbun Sidek untuk menyediakan tiga pemain negara ke Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham bulan depan mungkin tidak diperlukan.

Kejayaan Muhammad Hafiz Hashim menjuarai Seluruh England telah meyakinkan jurulatih itu bahawa latihan biasa sudah memadai untuk melahirkan juara.

Ini kerana gelanggang yang digunakan oleh Hafiz untuk menjulang kejuaraan Seluruh England pertama Malaysia dalam tempoh 37 tahun adalah gelanggang yang sama bakal digunakan pemain-pemain negara pada kejohanan 12-18 Mei itu.

Malah, keadaan cuaca di Birmingham ketika ini (musim bunga) juga diyakini tidak akan mengundang banyak masalah buat pemain negara untuk menyesuaikan diri.

``Saya telah menggunakan pendekatan khas ketika membimbing Roslin (Hashim) pada Kejohanan Dunia di Seville, sebelum mencuba pendekatan biasa ketika menyediakan Hafiz ke Seluruh England.

``Daripada dua pendekatan yang pernah dicuba, kita boleh nampak perbezaan dan keperluannya. Jadi saya melihat kejayaan Hafiz membuktikan latihan sedia ada boleh diteruskan tanpa perlu diubah suai.''

Pendapat Misbun itu turut disokong oleh ketiga-tiga perseorangan negara yang akan beraksi di Birmingham, Hafiz, Wong Choong Hann dan Lee Tsuen Seng.

``Terserah kepada jurulatih untuk memikirkan corak latihan yang baik digunakan oleh kami dalam tempoh terdekat, bagaimanapun saya fikir perubahan drastik di saat akhir kadangkala kurang memberi manfaat,'' kata Choong Hann.

Bagi Choong Hann, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah menambah tahap latihan terutama di sebelah pagi, memandangkan dia kurang sesi latihan sebelah petang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cty8z0fd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan