Rabu, 29 Mac 2017

Misbun jurulatih terbaik negara

ARKIB : 06/03/2003
KETUA jurulatih badminton negara Misbun Sidek dan Choo Yih Wah mengetuai senarai pemenang Anugerah Jurulatih Kebangsaan 2002 yang berlangsung dalam suasana penuh gemilang di Kuala Lumpur, semalam.

Berpengalaman selama 13 tahun menjadi jurulatih selepas menggantung raket sebagai pemain, Misbun menerima anugerah Jurulatih Prestasi Tinggi Lelaki,menewaskan 10 calon lain.

Pemilihan Misbun berdasarkan kepada kejayaannya mendidik pemain-pemain badminton negara sehingga meraih beberapa gelaran pada pertandingan peringkat antarabangsa.

Kejayaan paling cemerlang bagi Misbun sepanjang tahun 2002 ialah selepas anak didiknya Muhd. Hafiz Hashim memenangi pingat emas Sukan Komanwel di Manchester, sekali gus melonjakkan namanya sebagai jurulatih paling berprestasi untuk tahun berkenaan.

Sebelum itu, Misbun turut membimbing beberapa pemain negara, antaranya adiknya, Rashid yang telah memenangi pingat emas Piala Asia 1996 dan naib juara Seluruh England pada tahun yang sama. Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim yang meraih pingat emas kontinjen negara di Sukan SEA 2001 juga merupakan anak didiknya ketika mereka berganding dalam kelab Nusa Mahsuri dan yang terbaru kejayaan Hafiz menjuarai Seluruh England, bulan lepas.

Sementara itu, jurulatih boling padang, Yih Hwa meraih anugerah utama kategori wanita,

Misbun dan Yih Hwa masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, sebuah piala pusingan dan sebuah trofi.

Pemilihan Yih Hwa memang tidak boleh dinafikan, lebih-lebih lagi selepas anak didiknya mencatat sejarah di Sukan Komanwel Manchester yang menyaksikan mereka membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa.

Selain itu, Yih Hwa juga membimbing pasukan negara meraih 7 pingat emas dan satu gangsa pada kejohanan Boling Padang Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur tahun lepas.

Bagi kategori Anugerah Jurulatih Pembangunan Lelaki, Mohd. Azam Baba dari sukan tenis dipilih sebagai pemenang, manakala bahagian wanita dimenangi oleh Lim Geok Pong dari sukan memanah.

Ahmad Omar dari sukan olahraga pula dipilih sebagai penerima Anugerah Jurulatih Sukan Orang Kurang Upaya.

Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, piala pusingan dan trofi.

Anugerah Jurulatih Khas diberikan kepada Allahyarham Prof. Dr. Mohamad Nor Che Noh bagi menghargai sumbangan beliau terhadap sukan tanah air.

Semasa hayatnya, Mohamad Nor banyak menerbitkan artikel berbentuk perubatan dan sains sukan di samping memimpin Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Beliau juga adalah ahli jawatankuasa eksekutif Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asean.

Jawatan terakhirnya ialah sebagai pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya sebelum beliau kembali ke rahmahtullah pada 11 November 2002.

Beliau juga pernah dilantik sebagai timbalan Chef de Mission kontinjen negara ke Sukan Olimpik Munich pada tahun 1970.

Mohamad Nor lebih dikenali sebagai bapa pembangunan sukan di kalangan pelajar universiti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ci6TU6pk

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan