Khamis, 23 Mac 2017

Aksi Hafiz lebih meyakinkan - Misbun



ARKIB : 27/04/2002


PENDATANG baru Piala Thomas, Muhammad Hafiz Hashim memberi aksi lebih meyakinkan berbanding abangnya, Mohd. Roslin Hashim, kurang dua minggu sebelum kejohanan bermula di Guangzhou, bulan depan.

Jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek berkata, biarpun Piala Thomas 2002 adalah penyertaan pertama Hafiz, namun dia yakin anak didiknya cukup bersedia untuk beraksi sepanjang 9-19 Mei ini.

Begitu pun, Roslin pula masih perlu meningkatkan permainan untuk mendapat kepercayaan jurulatih walaupun prestasinya semakin baik.

``Kalau anda tanya di antara Hafiz dan Roslin siapa lebih meyakinkan saya.. pada ketika ini sudah tentu saya akan memilih Hafiz,'' kata Misbun.

``Anda tanyalah mana-mana jurulatih di dunia dan mereka pasti memberikan pandangan yang sama. Daripada segi permainan, memang Hafiz lebih konsisten dan mantap daripada Roslin ketika ini.''

Misbun bagaimanapun berkata, dia percaya Roslin sedang bekerja-keras untuk mengembalikan prestasi sebenarnya, dua minggu sebelum kejohanan bermula.

Katanya lagi, anak didiknya itu mula menunjukkan peningkatan yang baik selepas melakukan beberapa perubahan dalam corak permainannya dengan aksi agresif dan menyerang.

Hafiz dan Roslin berpotensi diturunkan sebagai perseorangan ketiga bersama Lee Tsuen Seng, malah Hafiz turut berpeluang untuk beraksi sebagai perseorangan kedua.

Pemain nombor lima dunia, Wong Choong Hann dan juara Terbuka Malaysia, Ong Ewe Hock merupakan calon utama mengisi posisi perseorangan pertama dan kedua.

Bagaimanapun kedudukan pemain bergantung kepada tuntutan strategi serta lawan yang bakal ditemui.

``Ada perlawanan tertentu yang Roslin masih diperlukan kerana pengalamannya, tetapi saya rasa Hafiz dan Tsuen Seng boleh dipercayai untuk perlawanan lain.

``Contohnya bertemu China... pada pendapat saya, Hafiz atau Tsuen Seng lebih sesuai diturunkan kerana rekod dan corak permainan mereka lebih sesuai.

``Tetapi Roslin mungkin sesuai untuk pertemuan dengan Indonesia, di mana dia dijangka bertemu Hendrawan. Apa pun ia banyak bergantung kepada percaturan bersama Indra (Gunawan).''

Pasangan nombor satu dunia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng akan membawa cabaran beregu utama, manakala Choong Tan Fook masih belum pasti sama ada berpasangan dengan Chang Kim Wai atau Lee Wan Wah, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah pada 1992 dan tahun lalu, skuad negara gagal ke separuh akhir beraksi di gelanggang sendiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4c96CNABs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan