Khamis, 4 Julai 2019 | 10:06pm
BAM masih tagih sentuhan Misbun
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) masih menagih sentuhan Datuk Misbun Sidek bagi melahirkan
pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei yang bersara bulan lalu.
Justeru, badan induk itu berhasrat
memperbaharui kontrak ketua jurulatih perseorangan lelaki negara berkenaan yang
tamat pada 30 Jun lalu.
Pengurus Besar BAM, Michelle
Chai, berkata pihaknya ketika ini di peringkat akhir rundingan bagi
memperbaharui kontrak jurulatih berusia 59 tahun itu.
“Ya, kami berhasrat untuk
menyambung kontrak Misbun tetapi kami masih dalam proses rundingan berhubung
terma dalam kontrak. Jika semuanya dipersetujui, ia akan dimuktamad.
“Perkara ini juga akan dibawa
dalam mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) yang diadakan,
esok,” kata Michelle kepada BH Sukan.
Selepas meletak jawatan pada
2011, Misbun kembali ke pangkuan BAM pada Julai 2017 dengan beliau ditawarkan
kontrak selama dua tahun bagi membantu melahirkan bintang baharu negara.
Sepanjang tempoh dua tahun ini,
magis Misbun sudah mula membuahkan hasil apabila Lee Zii Jia kini bergelar
pemain perseorangan lelaki nombor satu negara dengan dia menghuni ranking ke-18
dunia.
Di bawah bimbingan Misbun, Zii
Jia yang berusia 21 tahun turut menghasilkan keputusan positif di pentas
antarabangsa termasuk muncul juara Terbuka Taiwan dan naib juara Master Korea
2018.
Awal tahun ini, Zii Jia mara
hingga suku akhir dalam empat kejohanan berturut-turut bermula Masters
Thailand, Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jerman.
Dalam pada itu, Michelle turut
memberitahu tiada sidang media akan diadakan selepas tamat mesyuarat C&T
esok, sebaliknya ia akan diadakan keesokan harinya sebaik selesai mesyuarat
Ahli Majlis BAM.
“Semua keputusan dibuat dalam
mesyuarat C&T esok akan diumumkan ketika sidang media selepas mesyuarat
ahli majlis. Ia lebih mudah untuk pihak media,” kata Michelle.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan