ARKIB : 20/04/2011

Tiada lagi gandingan Misbun-Chong Wei selepas BAM memberikan jurulatih itu
peranan membimbing skuad pelapis.
UTUSAN: Apa pandangan Datuk berhubung tugas baru Misbun?
ZOLKPLES: Kita harus melihat perkara ini dengan positif dan kita harap
Misbun menerima tawaran tersebut kerana kepakaran beliau masih diperlukan oleh
negara.
Saya juga percaya BAM telah menentukan yang terbaik buat Misbun, malah pemilihan
itu juga dibuat hasil perbincangan teliti melalui pendapat ramai dan barangkali
termasuk pandangan daripada Tey Seu Bock, Rashid Sidek atau Datuk Lee Chong Wei
sendiri.
Langkah BAM menawarkan Misbun untuk melatih skuad pelapis adalah satu yang
baik kerana kepakaran beliau amat berguna untuk melahirkan ramai jaguh
badminton negara dan saya juga berharap Misbun dapat menerima tanggungjawab
tersebut.
Adakah Datuk yakin seorang lagi Chong Wei mampu dilahirkan?
Saya percaya kalau kita gabungkan semua aspek kepakaran, sudah tentu
seorang pemain bertaraf dunia mampu dilahirkan.
Paling penting kini adalah bakat yang ada pada pemain itu sendiri, kerana
pada masa kini atlet pelapis kita semakin kebelakang. Sebagai contoh suatu
ketika dahulu pemain pelapis kita Mohd. Arif Latif mampu menyaingi pemain
pelapis China, Chen Long namun kini pemain muda China itu lebih menyerlah
berbanding Arif.
Saya juga ada mencadangkan agar anak Misbun, Misbun Ramdan Misbun Sidek
diletakkan di bawah bimbingan bapanya, agar pemain muda itu dapat memperoleh
sentuhan bapanya sendiri. Ini mungkin boleh meningkatkan prestasi pemain
berkenaan.
Bagaimana prestasi skuad pelapis ketika ini?
Mereka masih lagi jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk
bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun kini kita ada pemain pelapis seperti Arif, Misbun Ramdan dan
Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang berpotensi untuk mencapai tahap dunia.
Bagi meningkatkan prestasi pemain pelapis ini, apa yang Misbun perlu
dilakukan?
Kalau kita tengok dari sudut latihan, memang tidak ada kekurangan kerana
badminton antara sukan yang menerima banyak bantuan bukan sahaja daripada
kerajaan tetapi juga daripada swasta dan pihak-pihak lain.
Adalah penting pemain sendiri perlu percaya pada diri sendiri bahawa
mereka mampu bersaing.
Disiplin di kalangan pemain pelapis juga harus dipertingkatkan. Mereka
perlu lebih serius dan selain itu pendedahan juga perlu lebih banyak diberikan
kepada pemain pelapis yang berpotensi untuk melangkah jauh.
Jangkaan Datuk berapa lama kita dapat melahirkan pemain seperti Chong Wei?
Pada pandangan saya mungkin dalam tempoh dua tahun kita mampu lahirkan
pemain sehebat Chong Wei melalui sentuhan Misbun dan jurulatih lain yang ada.
Dahulu kita mempunyai ramai pemain perseorangan namun kurang pemain beregu
bagaimanapun kini keadaan itu seolah-olah terbalik. Harapan saya sewajarnya
masalah itu mampu diatasi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5e6KLE58x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan