ARKIB : 24/04/2011
SHAH ALAM - Pemain badminton perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei
berkata, dia tetap akan mengambil pandangan dan berkongsi pendapat dengan bekas
jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek meskipun tidak melatihnya lagi.
Misbun ditawarkan untuk membimbing skuad pelapis oleh Persatuan Badminton
Malaysia (BAM).
Menurut juara All England 2011 itu, sudah pasti dia akan berjumpa Misbun
ketika menjalani latihan, jadi untuk pembakar semangat menjelang kejohanan yang
akan disertainya dia akan cuba mendapat khidmat nasihat daripada Misbun.
"Saya akan cuba mendapatkan nasihat dan tips daripadanya, jadi saya
tidak kisah walaupun siapa jurulatih saya dan tidak lagi bersama Misbun, ini
kerana kita semua dalam skuad badminton adalah seperti keluarga," katanya
pada Majlis Penyampaian Hadiah Kereta Proton Inspira atas kejayaannya memenangi
All England tahun ini.
Jelasnya, dalam skuad badminton semua orang saling membantu antara satu
sama lain dan dia juga tetap menghormati jurulatih pelapis, Hendrawan dan
sering bertukar pandangan dengan bekas juara dunia 2001 itu.
"Saya memang memerlukan pandangan dan nasihat daripada semua
jurulatih termasuk Rashid Sidek, saya harap semua mereka ini mampu untuk
membantu saya mengekalkan fokus menjelang Kejohanan Dunia.
"Saya hanya memilih kejohanan yang penting sahaja tahun ini
berbanding tahun lepas, semuanya adalah sebagai persiapan rapi menjelang buruan
pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik 2012 London," kata pemain
kelahiran Pulau Pinang itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e6SzxsxJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan