ARKIB :
17/03/2011
Oleh Norzie
Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Presiden Persatuan Badminton (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh menjelaskan
beliau membenarkan krisis melibatkan Datuk Misbun Sidek berlarutan, kerana isu
jurulatih perseorangan kebangsaan itu adalah 'kes istimewa' yang tidak boleh
dilayani seperti kes biasa.
Katanya,
Misbun merupakan seorang personaliti besar dalam sukan tanah air, manakala anak
didiknya, Datuk Lee Chong Wei pula pemain No. 1 dunia, sebab itulah beliau
memberi tempoh yang lebih panjang bagi mencari penyelesaian.
Krisis Misbun
sudah berlarutan lebih tiga bulan sejak jurulatih itu meletakkan jawatan pada
31 Disember lalu atas alasan peribadi, dan dalam tempoh berkenaan juga Chong
Wei sudah menyertai empat kejohanan antarabangsa, menang tiga daripadanya,
terbaru mempertahankan kejuaraan All England.
Pelbagai usaha
telah dilakukan BAM untuk memujuk jurulatih itu kembali ke pangkuan skuad
kebangsaan, termasuk menyuarakan kesediaan untuk berkompromi dalam beberapa isu
yang dianggap sebagai punca kepada tindakan mengejut Misbun.
Hasil daripada
beberapa pertemuan yang diatur, baik Nadzmi mahupun Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melihat ada petanda positif bahawa krisis akan
selesai dengan baik, namun malangnya sehingga hari ini ia masih tiada kesudahan
dan Chong Wei dibiarkan dalam kebingungan mengenai status jurulatihnya itu.
Nadzmi ketika
ditanya, sampai bila beliau sedia memberi tempoh kepada Misbun untuk keluar
daripada sikap membisu, yang bukan saja membingungkan BAM, malah Chong Wei
sendiri, beliau menjelaskan: "Saya akan berjumpa Misbun, Chong Wei dan
(Tey) Seu Bock dalam masa terdekat sebelum mengambil tindakan. Apa yang saja
akan dilakukan, ia harus memikirkan kepentingan Chong Wei."
Ketika
ditanya, adakah krisis yang berlarutan terlalu lama akan memberi kesan buruk
kepada Chong Wei, yang tidak mempunyai banyak masa untuk menyiapkan diri
menghadapi Kejohanan Dunia (8-14 Ogos) dan Sukan Olimpik London 2012, Nadzmi
tidak menolak, pada akhirnya BAM akan menerima juga peletakan jawatan jurulatih
itu, andai ia masih tidak berkesudahan.
"Saya
tidak akan membawa isu Misbun dalam mesyuarat majlis (1 April depan) sebab
mereka telah memberi mandat kepada saya untuk membuat keputusan. Saya
memutuskan untuk memberi ruang dan masa yang lebih panjang kepada Misbun untuk
berfikir kerana beliau adalah personaliti besar dan kita kena ambil pendekatan
yang teliti.
"Bagaimanapun
saya akui, andai perkara ini meleret terlalu lama, pilihan yang ada hanyalah
menerima perletakan jawatan Misbun dan semua akan selesai. Ketika ini, Chong
Wei juga nampak selesa dengan Seu Bock dan itu adalah petanda baik bahawa kami
mempunyai opsyen lain jika tidak jumpa penyelesaian,'' ujar Nadzmi.
Bagaimanapun
tegas Nadzmi, beliau lega kerana Chong Wei tidak membenarkan dirinya
terperangkap dalam krisis yang melanda Misbun dan BAM, sebaliknya memuji jaguh
perseorangan negara itu yang bersikap amat profesional dengan meletakkan karier
sebagai segala-galanya.
Katanya, Chong
Wei menunjukkan satu persembahan terpuji ketika menumpaskan Lin Dan 21-17,
21-17 pada perlawanan akhir All England dan memberi keyakinan kepada Malaysia
bahawa misi untuk mencari emas Sukan Olimpik 2012 mampu direalisasikan.
"Chong
Wei seorang yang profesional, dia amat komited dengan kariernya dan berusaha
keras untuk mencari kejayaan. Dia tidak membiarkan masalah di sekeliling
menganggu fokusnya, sebaliknya hanya memikirkan untuk mencari kemenangan.
"Saya
percaya, kemenangan ke atas Lin Dan menguatkan lagi keyakinannya untuk mencari
kemenangan lebih besar seperti kejuaraan dunia dan Olimpik. BAM akan cuba
membantu apa saja yang terdaya untuk memastikan Chong Wei dapat merealisasikan
impiannya, yang juga impian kami dan seluruh rakyat Malaysia,'' kata Nadzmi
lagi.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5du51dOiG
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan