ARKIB : 17/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Datuk Misbun Sidek bakal kembali ke pangkuan skuad
kebangsaan, namun kepulangannya bukan untuk Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya
beliau diberi cabaran baru, melahirkan pengganti jaguh No. 1 dunia itu dengan
sasaran adalah Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016.
Keputusan tersebut dicapai oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan
(CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam mesyuaratnya semalam, yang
memutuskan Misbun akan membimbing sekumpulan pemain pelapis yang belum dikenal
pasti, pada ketika Chong Wei pula kekal di bawah bimbingan Tey Seu Bock dan
Rashid Sidek sehingga tamat Sukan Olimpik London 2012.
Bermakna, permintaan jurulatih berpengalaman itu untuk membimbing anaknya,
Misbun Ramdan Misbun, antara punca beliau meletakkan jawatan sebelum ini,
hampir akan dikabulkan oleh BAM.
Namun, butiran terperinci mengenai siapa pelatih yang bakal bernaung di
bawah beliau hanya akan diputuskan selepas mesyuarat exco 28 April ini.
"Kami mencadangkan Misbun mengendalikan skuad campuran, gabungan
pemain elit dan pelapis. Kita belum menentukan senarai pelatih yang akan berada
di bawah beliau, tetapi yang pasti beliau tidak akan bekerja secara langsung
dengan Lee Chong Wei.
"Keputusan ini dicapai selepas mendapatkan pandangan daripada semua
rakan kongsi BAM iaitu barisan jurulatih kebangsaan, Lee Chong Wei dan MSN
(Majlis Sukan Negara), namun ia perlu diluluskan oleh exco yang bermesyuarat
minggu depan," kata Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai, yang
mempengerusikan mesyuarat hampir tiga jam di Stadium Juara, Bukit Kiara
semalam.
Chin Chai berkata, Misbun sudahpun dijelaskan mengenai skop baru tugasnya
apabila kembali ke skuad kebangsaan dan jurulatih itu menyambut cabaran
tersebut dengan baik biarpun hingga hari ini belum menjawab kontrak baru yang
diserahkan oleh BAM, minggu lalu.
"Kami sudah beritahu Misbun mengenai skop tugasnya nanti dan beliau
menerima dengan baik. Pemilihan pemain yang akan dibimbingnya bakal dibuat
secara bersama. Kami sudah berbincang dengan jurulatih lain, termasuk Hendrawan
mengenai kemungkinan menyerahkan pemain mereka dan semua menerimanya dengan
baik kerana ia adalah demi kepentingan negara.
"Pemilihan pemain, bergantung kepada kesesuaian corak permainan dan
beberapa kriteria. Mungkin akan ada satu atau dua pemain skuad elit berada di
bawah Misbun bersama pemain pelapis, tetapi mungkin juga tidak, namun siapapun
yang akan dipilih, ia sama sekali tidak akan menganggu atau merubah struktur
kejurulatihan kebangsaan," kata Chin Chai lagi.
Selain Chong Wei, terdapat empat lagi pemain elit yang dikendalikan Seu
Bock dan Rashid iaitu Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Chan Kwong Beng dan Liew
Daren, manakala ada sembilan pemain pelapis yang dilatih Hendrawan, iaitu Mohd.
Arif Latif, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Fang Yang, Muhd. Syawal Ismail,
Misbun Ramdan Misbun Sidek, Loh Wei Sheng, Kuan Kam Chung, Goh Soon Huat dan
Tew Gee Chong.
Dalam perkembangan lain, BAM sudah menyerahkan surat tawaran kepada ratu
badminton negara, Wong Mew Choo untuk menjadi jurulatih Sekolah Sukan Bukit
Jalil (SSBJ) bagi menggantikan Chi Zhangrong yang dinaikkan sebagai jurulatih
perseorangan wanita kebangsaan, mengisi kekosongan Wong Tat Meng. Zhangrong
akan membawa bersama dua pemainnya, Sonia Chia dan Yang Li Lian.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e67JWLs1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan