ARKIB : 29/04/2011
KUALA LUMPUR - Ahli exco senior Persatuan Badminton
Malaysia (BAM), Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah semalam menegaskan, beliau tidak
faham mengapa Datuk Misbun Sidek menolak kontrak baru yang ditawarkan oleh BAM,
kerana menganggap jurulatih itu mampu menjadi lebih masyhur andai berjaya
menaikkan seorang lagi pemain sehebat Datuk Lee Chong Wei.
Katanya, Misbun tidak sepatutnya menolak untuk
melatih sekumpulan pemain pelapis berbakat yang dikenal pasti sebagai pemain
masa depan badminton negara, sebaliknya menyahut cabaran baru itu.
Tegasnya, tawaran yang diberikan oleh Jawatankuasa
Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM sangat berpatutan, dengan mengambil
kira kemampuan yang dimiliki jurulatih tersebut dan keperluan utama badminton
negara ketika ini - ketiadaan pemain pelapis berwibawa.
"Beliau sepatutnya menerima tawaran ini kerana
ia merupakan cabaran yang hebat. Kalau beliau berjaya menaikkan pemain-pemain
pelapis negara ini menjadi sehebat Datuk Lee Chong Wei, maka beliau akan
mencipta nama lebih besar.
"Beliau sudah membuktikan kemampuan dengan
menaikkan Chong Wei dan sekarang kita memerlukan jaguh baru yang mampu
menggantikan Chong Wei atau menjadi lebih baik daripada itu. Misbun adalah
orang paling sesuai untuk melakukan tugas tersebut, beliau ada kepakaran.
"Pada saya, C&T mengemukakan tawaran yang
sangat berpatutan dan adil, sayang sekali Misbun enggan menerimanya. Secara
peribadi, ia memang mengecewakan saya, kerana saya hanya mahu melihat
pembangunan badminton negara berterusan,'' ujar Sayed Abu Bakar.
Sayed Abu Bakar, yang juga Presiden Persatuan
Badminton Terengganu turut menambah, tempoh terlalu panjang yang diambil Misbun
sebelum membuat keputusan sama ada mahu kembali atau tidak ke pangkuan skuad
kebangsaan banyak mempengaruhi fikiran jurulatih senior itu.
Katanya, seandainya Misbun tidak mengambil masa
sehingga empat bulan untuk membuat keputusan, mungkin penamatnya tidak seperti
sekarang. "Selepas meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu, beliau ambil
masa yang terlalu lama untuk berfikir dan membuat keputusan. Dalam tempoh
berkenaan saya percaya banyak faktor sekeliling yang mempengaruhinya.
"Sepatutnya, beliau tidak perlu menjadikan isu
ini meleret terlalu lama. Saya mengharapkan satu kesudahan yang lebih baik
daripada ini,'' katanya lagi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e95OS2po
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan