Isnin, 28 Januari 2019

Misbun juga penting - Shabery


ARKIB : 25/03/2011
KUALA LUMPUR - Isu mengenai bekas jurulatih badminton perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu diselesaikan segera, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar).

Menurut beliau, keutamaan untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik London tahun depan menerusi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak akan ke mana-mana jika isu berkenaan tidak diselesaikan segera.

"Orang yang diharap dapat merealisasikan peluang itu ialah Chong Wei dan untuk melihat Chong Wei mampu melaksanakannya, perlu lihat semua faktor... diri dia, kesungguhannya, kesihatan, persiapan mental, latihan dan sebagainya.

"Dalam soal latihan... sekiranya Misbun adalah sebagai faktor penting untuk menjadikan beliau (Chong Wei) tahan dan mampu hadapi saingan masa itu, maka Misbun tidak boleh diketepikan," katanya mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Zolkples dalam laporan sebuah akhbar semalam berkata, keutamaan kini ialah kepada Chong Wei kerana beliau boleh merealisasikan hasrat untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Shabery berkata, pandangan yang diberikannya adalah pandangan peribadi beliau dan bukan bertujuan mengkritik sesiapa.

"Ini adalah pendapat saya dan janganlah bandingkan pendapat saya dengan Datuk Zolkples. Sehingga sekarang, saya berterima kasih kepada Misbun kerana beliau tidak mengganggu Chong Wei.

"Malah Misbun terus beri galakan kepada Chong Wei walaupun beliau secara rasminya bukan lagi sebagai jurulatih Chong Wei," katanya.

Misbun meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan pada 31 Disember tahun lepas dan sikap membisu beliau itu menyaksikan kemelut yang berlarutan hampir tiga bulan itu belum menemui titik penyelesaian.

Terdahulu Shabery melancarkan Tabung Kemanusiaan Tsunami anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di lobi Bangunan Parlimen di sini, semalam. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5duKZKz9L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan