ARKIB : 29/04/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Penamat gembira yang diharapkan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) daripada kemelut berpanjangan melibatkan
Datuk Misbun Sidek bagaimanapun berakhir dengan kejutan, apabila jurulatih itu
menolak tawaran kontrak baru sebagai jurulatih kebangsaan biarpun telah
membatalkan keputusan meletak jawatan pada awal bulan ini.
Penolakan tersebut dimaklumkan menerusi sepucuk
surat yang dihantar kepada Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh
kelmarin tanpa menyatakan alasan di sebalik keputusan itu, namun dipercayai,
skop tugas baru yang ditawarkan BAM kepada Misbun antara yang mendorongnya
untuk tidak kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Dalam tawaran baru yang dicadangkan Jawatankuasa
Kejurulatihan dan Latihan BAM (C&T) pada pertengahan bulan lalu, Misbun
tidak lagi akan melatih anak emasnya iaitu jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong
Wei, sebaliknya diberi cabaran menaikkan sekumpulan pemain-pemain pelapis,
termasuk anaknya sendiri, Misbun Ramdan Misbun.
Jurulatih berpengalaman itu turut diberi sasaran
melahirkan pemain untuk Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016, selain ditawar
gaji yang lebih baik berbanding sebelumnya: "Gaji baru itu mengambil kira
kenaikan harga minyak," ujar Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail
Tengku Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat exco di Bukit Kiara, semalam.
Menurut Tengku Kamil, beliau tidak dapat
menjelaskan faktor yang mendorong Misbun menolak tawaran BAM kerana jurulatih
tersebut langsung tidak membincangkannya dalam surat yang diberi kepada
Presiden.
"Namun mengakui ia agak mengejutkan kerana
jurulatih itu sendiri yang bertindak membatalkan peletakan jawatan pada awal
bulan ini, dan keputusan itu telah diterima majlis BAM.
"Beliau hanya kata menolak tetapi tidak cakap
mengapa, jadi kami tidak tahu sebabnya.
"Secara peribadi, ia agak mengejutkan exco
kerana pada kami kehadirannya mampu membantu menaikkan pemain muda dan
melahirkan pengganti Lee Chong Wei.
"Misbun sudah lama dalam skuad kebangsan, dan
dengan adanya beliau, kami boleh sama-sama membangunkan badminton.
"Namun, kami menghormati dan menerima
keputusan beliau, malah kami merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih
atas sumbangan besar yang telah diberi kepada negara sepanjang di BAM,'' kata
Tengku Kamil lagi. Misbun gagal dihubungi untuk mengulas mengenai keputusannya.
Setiausaha BAM, Ng Chin Chai, yang juga pengerusi
C&T berkata, badan badminton negara itu tidak bercadang untuk mencari jurulatih
baru bagi mengisi peranan yang pada awalnya ditawarkan kepada Misbun,
sebaliknya akan kekal dengan struktur sedia ada.
Bagaimanapun beliau tetap akan membawa perkara ini
untuk dibincangkan dalam mesyuarat C&T akan datang kerana barisan jurulatih
kebangsaan yang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza.
"Ketika ini, saya tidak nampak keperluan untuk
mencari jurulatih baru kerana kita boleh meneruskan program sedia ada, tetapi
memandangkan keputusan Misbun baru diketahui hari ini, mungkin jurulatih lain
mempunyai pandangan mereka dalam hal ini,'' kata Chin Chai.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e94bKrzK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan