ARKIB : 05/05/2011
sukan@utusan.com.my
Ahmad Said beramah mesra dengan pelumba-pelumba
Terengganu Pro-Asia Cycling Team pada majlis perasmian pejabat baru pasukan itu
di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU - Bekas jurulatih perseorangan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek dipelawa menjadi
jurulatih akademi badminton yang bakal diwujudkan di negeri ini.
Tawaran itu dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk
Seri Ahmad Said selepas merasmikan pejabat baru pasukan lumba basikal
profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) di Bangunan EPIC di sini,
semalam.
Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum
memutuskan mengenai perkara itu tetapi sekadar menyatakan hasrat untuk
mendapatkan khidmat Misbun bagi mengendalikan tugas kejurulatihan di akademi
berkenaan.
Buat masa ini, jelasnya, beliau akan meneliti
terlebih dahulu perkara itu sebelum perkembangan dan langkah selanjutnya.
"Kita alu-alukan Misbun untuk jadi jurulatih
di akademi badminton ini. Kita akan tengok dulu kerana kita tak mahu seolah-olah
'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'," katanya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu,
Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat
serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan
Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Ahmad seterusnya tidak menolak kemungkinan menerima
Misbun, jika jaguh badminton negara itu menghubunginya bagi menyatakan
persetujuannya untuk menjadi jurulatih.
Kelmarin, Ahmad berkata, kerajaan Terengganu
berhasrat mewujudkan akademi badminton di negeri itu untuk melatih pemain dari
peringkat usia 12 hingga 18 tahun sebagai pelapis di negeri berkenaan.
Selain itu katanya, penubuhan akademi itu turut
bertujuan melahirkan ramai jaguh badminton negara kelahiran Terengganu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9z4w9bx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan