ARKIB : 08/05/1998
MISBUN
JURULATIH kelab badminton profesional Nusa Mahsuri, Misbun Sidek menyelar
kelancangan mulut Morten Forst Hansen yang menganggap adiknya pengecut dan
tidak bersemangat patriotik ketika menyatakan penarikan diri daripada skuad
Piala Thomas negara, minggu lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Misbun juga mempertikaikan hak Frost untuk bersikap seperti 'diktator'
apabila memberikan tekanan berterusan terhadap adiknya itu supaya mendapatkan
satu mata menerusi acara perseorangan tanpa mengira walau dengan apa cara
sekalipun.
''Apa haknya untuk menekan Rashid sebegitu sekali sedangkan adik saya di
bawah naungan sebuah kelab yang profesional, Nusa Mahsuri dan saya sendiri yang
sering membimbingnya.
''Mengapa mesti dia berbuat begitu? Ini seolah-olah menggambarkan dia
sendiri kurang pasti sama ada pemain di bawah bimbingannya seperti Ong Ewe Hock
dan Yong Hock Kin mampu menyumbangkan mata daripada acara perseorangan,'' kata
Misbun lagi.
Ujar bekas jaguh negara itu, Rashid menjelaskan kepadanya bahawa dia sudah
tidak mampu lagi dibebankan dengan tekanan orang luar walaupun pelbagai cara
sudah dicuba untuk mengatasinya ketika sesi latihan harian.
''Bayangkan jika dalam latihan pun, Rashid tewas dengan mudah kepada Roslin
Hashim (seorang lagi pemain Nusa). Malah pukulan lawan semakin sukar dijangkau
Rashid lagi kerana jiwanya terkongkong dengan sikap keras Frost itu.
Tambah Misbun, Rashid menyatakan pengunduran diri daripada skuad ke Hong
Kong itu dengan cara profesional dan ada 'hitam putihnya' (surat rasmi).
''Tetapi bagaimana dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia)? Hingga hari
ini (semalam), saya tidak nampak satu surat jawapan rasmi pun dihantar ke kelab
Nusa yang mengesahkan pengguguran Rashid terus daripada skuad negara akibat
keputusan penarikan dirinya itu.
''Nusa Mahsuri merupakan pertubuhan berdaftar. Kami juga ada protokol,
penaung dan presiden. Apakah BAM boleh melayan kami dengan cara begini?'' bidas
Misbun.
Misbun menegaskan, yang anehnya ialah Frost sendiri tidak pernah bersemuka
dengannya untuk membincangkan soal Rashid itu sejak isu penarikan diri adiknya
timbul, minggu lalu.
Harapan Nusa kini tergantung penuh kepada Roslin selaku perseorangan ketiga
biarpun anak didik Misbun itu dijangka menghadapi pemain ternama pasukan lawan
yang lebih tinggi kedudukan dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
''Saya sedar lawan Roslin nanti terdiri daripada Ahn Jae Chang, Joko
Suprianto dan Dong Jiong yang memang diakui mempunyai kelebihan atas kertas
(rekod pertemuan lalu).
''Namun Roslin sentiasa menghargai setiap sen orang ramai yang dipungut
ketika mencari wang pampasan RM60,000 untuk melepaskan diri daripada kontrak
BAM lalu.
''Mungkin itulah yang terus menjadi tunjang dan pembakar semangat
perjuangannya apabila menggantikan tempat Rashid untuk menyumbangkan kejayaan
buat skuad negara,'' jelas Misbun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan