ARKIB :
02/04/2011
Oleh Norzie
Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -
Datuk Misbun Sidek akhirnya 'memecah kesunyian' dengan menarik balik peletakan
jawatan sebagai jurulatih perseorangan kebangsaan, namun keputusannya itu belum
menamatkan kemelut bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan persoalan
kini terarah kepada, apakah beliau akan kembali membimbing jaguh No. 1 dunia,
Datuk Lee Chong Wei.
Presiden BAM,
Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh pada mesyuarat majlis semalam mengesahkan
menerima surat Misbun beberapa hari lalu, namun menegaskan terma kontrak baru
jurulatih belum ditentukan, malah beliau tidak dapat mengesahkan apakah tugas
yang bakal digalas Misbun andai kembali ke skuad kebangsaan nanti.
Ketika
ditanya, apakah BAM akan menawarkan terma yang berbeza atau sama seperti
kontrak terdahulu Misbun yang berakhir pada 31 Disember lepas, Nadzmi
menegaskan, semua belum pasti. Malah, beliau mengakui, BAM masih terbuka dalam
soal peranan jurulatih itu, apakah kembali melatih Chong Wei atau pemain
tersebut kekal bersama Tey Seu Bock.
"Apakah
Misbun akan kembali untuk melatih pemain pelapis elit atau sekadar membimbing
Chong Wei seperti sebelum ini? Semua hanya akan diputuskan oleh CTC
(Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan). Biarpun kami akan membuka
perbincangan terma baru dengan Misbun, namun struktur dan CTC tidak akan
diganggu.
"Kami
belum membincangkan mengenai terma kontrak baru Misbun kerana saya baru
memaklumkan kepada majlis mengenai surat yang dihantar oleh beliau ke rumah
saya kira-kira tiga atau empat hari lepas. Mereka (ahli majlis) bersetuju
menawarkan kontrak baru kepada jurulatih itu, namun apakah Misbun pula
bersetuju dengan terma kami, itu kita tidak tahu.
"Secara
dasarnya, saya rasa beliau (Misbun) tahu kontrak yang akan kami tawarkan, cuma
perinciannya belum dibincangkan. Selepas mendapat persefahaman bersama, barulah
ia boleh dimeterai,'' ujar Nadzmi selepas mempengerusikan mesyuarat majlis BAM
di Subang Jaya, semalam.
Jelas Nadzmi,
Chong Wei juga belum dimaklumkan mengenai keputusan Misbun, justeru beliau
tidak tahu bagaimanakah reaksi pemain itu, sama ada gembira menerima kepulangan
jurulatihnya itu atau selesa kekal bersama Seu Bock, yang telah membantunya
merangkul tiga kejuaraan daripada empat kejohanan dalam tempoh tiga bulan
terakhir ini.
Bagaimanapun
tegas Nadzmi, apa pun keputusan yang bakal diambil mengenai kedudukan jurulatih
Chong Wei, ia terpulang kepada keselesaan dan apa yang diinginkan pemain itu
kerana bagi BAM, sebarang keputusan harus berteras kepada kepentingan negara
dan misi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2012.
Nadzmi juga
mengesahkan, Misbun tidak mungkin kembali ke sesi latihan skuad kebangsaan
sebelum kontrak ditandatangani kerana mereka mahu semuanya berlangsung dengan
cara baik. "Biarlah selepas kontrak ditandatangani, baru latihan
bermula,'' kata Nadzmi, yang tidak pasti apakah yang merubah fikiran Misbun
untuk membatalkan peletakan jawatannya dan kembali menyertai skuad kebangsaan.
SUMBERArtikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e0D3sIim
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan