ARKIB :
24/03/2011
Ahmad Shabery
Cheek (tengah) melihat Piala Futsal Universiti Malaya 2011 di Kuala Lumpur,
semalam.
KUALA LUMPUR -
Sikap Datuk Misbun Sidek yang terus menyepi seribu bahasa tetap dianggap telah
menyumbangkan sesuatu kepada badminton negara, menurut kaca mata Menteri Belia
dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Kata beliau,
ia dibuktikan dengan bekas jurulatih berkenaan yang tidak pernah mengganggu
latihan dan persediaan Datuk Lee Chong Wei ke beberapa kejohanan antarabangsa,
baru-baru ini malah sanggup memberikan nasihat apabila diminta juara Seluruh
England itu secara peribadi.
"Dia
tidak mengganggu fikiran atau pernah mengarahkan (anak didiknya) Chong Wei
supaya jangan bermain di mana-mana - jadi ia juga satu sumbangan dan pemain itu
cemerlang dalam Seluruh England, malah mengalahkan (musuh ketatnya) Lin Dan
yang meyakinkan rakyat dengan peluang emas Olimpik 2012 kita.
"Mereka
juga terus berhubung apabila Chong Wei meminta nasihatnya - jadi saya anggap ia
tetap satu sumbangan Misbun walaupun (gajinya) tanpa dibayar sesiapa atau tidak
berada dalam sistem (kejurulatihan dengan BAM (Persatuan Badminton
Malaysia)," katanya selepas majlis pelancaran Karnival Gempak Futsal
Universiti Malaya 2011 di sini, semalam.
Malah, buat
masa ini, Ahmad Shabery mengakui beliau menghargai sumbangan Misbun itu, namun
menganggapnya lebih menarik jika jurulatih tersebut dapat mengetepikan sebarang
perselisihan faham dan kembali menyertai BAM seterusnya membantu memajukan
prestasi Chong Wei dan pemain lain.
"Dia ada
alasan sendiri untuk berundur dan tidak sertai (BAM) sekarang tetapi dia pernah
kata, sebarang keputusan yang dibuatnya sentiasa akan berpegang kepada
kepentingan negara," katanya sambil menyifatkan kes Misbun sebagai suatu
luka yang ada kalanya memerlukan masa untuk menyembuhkannya selain dengan
menggunakan ubat biasa.
Ahmad Shabery
turut mengakui ketika ini belum ada sebarang permintaan mana-mana pihak supaya
beliau tampil menjadi orang tengah dalam isu Misbun-BAM menerusi suatu
pertemuan khas.
Mengenai
laporan akhbar Jakarta Post berhubung hasrat terbaru Indonesia untuk membida
sebagai tuan rumah Sukan Asia 2019 sedangkan Malaysia menolaknya pada Ogos
tahun lalu kerana kos penganjuran terlalu tinggi, katanya: "Kita masih
tidak bersedia untuk melakukannya walaupun bagi temasya 2023.
"Ia
sesuatu yang tidak wajar ketika ekonomi kita juga masih tidak kukuh. Mulanya
kita anggarkan dalam RM2 bilion untuk menganjur temasya itu antara seminggu
hingga 10 hari tetapi selepas melihat Guangzhou tahun lalu, ia memerlukan
sekurang-kurangnya RM4 bilion hingga RM5 bilion bagi menjayakannya.''
Tegasnya,
sesuatu temasya sebesar dan semahal Sukan Asia, bakal meragut beberapa
kemudahan popular rakyat seperti subsidi sedangkan China tidak mempedulikan
soal itu asalkan ia mampu memajukan atlet dan rakyat selain mendidik cara
berfikir, sikap terhadap tetamu dan menjadikan Guangzhou bersih, tahun lalu.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5du8zllck
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan