ARKIB : 30/11/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET
JURULATIH Nusa Mahsuri, Misbun
Sidek perlu melepaskan jawatannya sebagai pemangku Presiden kelab itu berikutan
persetujuannya menerima tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi
Salleh berkata, jawatan ketua jurulatih perseorangan merupakan tugas sepenuh
masa dan Misbun perlu melepaskan semua tanggungjawab lain di luar badan induk
itu.
Misbun bagaimanapun boleh
meneruskan kontrak tajaan dengan Yonex walaupun BAM ditaja oleh Gosen.
``Misbun perlu melepaskan jawatan
ini (pemangku presiden) di Nusa Mahsuri dan menumpukan sepenuhnya kepada
tanggungjawab di BAM,'' kata Nadzmi.
Misbun memangku jawatan presiden
kelab badminton terkemuka itu setelah Jalani Sidek diistiharkan muflis.
Nadzmi berkata demikian ketika
mengumumkan penerimaan tawaran sebagai ketua jurulatih perseorangan dan beregu
yang diberi kepada Misbun dan jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil, Yap Kim Hock
di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Pada sidang akhbar itu, Nadzmi
memaklumkan bahawa kedua-dua jurulatih itu telah menerima tawaran BAM.
Kim Hock, 32, bekas pemain
kebangsaan, secara rasmi menjawat jawatan itu Ahad ini dan akan memulakan tugas
Isnin depan.
Kontrak Misbun pula akan bermula
1 Januari tahun depan dan kedua-dua mereka mengikat kontrak selama dua tahun.
Tugas pertama Misbun dan Kim Hock
adalah memilih jurulatih yang akan membantu dan BAM memberi tempoh dua minggu
untuk mereka menamakan calon sebelum dibawa ke mesyuarat exco untuk kelulusan.
Selain daripada itu, mereka juga
diberi tempoh minggu ketiga bulan Januari untuk memilih pemain yang yang akan
dikekalkan dalam skuad kebangsaan.
``BAM akan mengadakan mesyuarat
majlis mereka pada minggu keempat Januari depan dan perkara ini akan dibawa ke
mesyuarat itu,'' kata Nadzmi.
Mengenai gaji kedua-dua jurulatih
itu, Nadzmi berkata, beliau berharap ia akan dibayar sepenuhnya oleh Majlis
Sukan Negara (MSN) seperti yang diperoleh oleh Indra Gunawan sebelum ini.
``Sekiranya MSN bersetuju
membayar gaji mereka, kontrak sebenar akan dikeluarkan oleh MSN tetapi sekiranya
MSN membayar sebahagian daripada jumlah ini, BAM akan mengeluarkan surat
tawaran,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPDR9KXY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan