Jumaat, 31 Mac 2017

Usaha terakhir Misbun tutup kelemahan pemain



ARKIB : 30/05/2003

TEMPOH dua bulan sebelum Kejohanan Dunia di Birmingham, England akan digunakan oleh ketua jurulatih badminton negara Misbun Sidek untuk menutup ruang kelemahan pemainnya dan meningkatkan prestasi mereka ke tahap 95 peratus.

Misbun berkata, tiga pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng kini berada pada tahap 92 peratus bersedia untuk menghadapi kejohanan itu.

``Pemain bertaraf dunia seharusnya sentiasa berada pada tahap 95 peratus. Jika tahap persediaan mereka kurang daripada itu, maknanya mereka cuma menyertai pertandingan dan bukannya untuk memenanginya,'' katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Misbun yang telah lima bulan menjadi ketua jurulatih badminton negara, berkata pemain di bawah bimbingannya kini telah banyak menunjukkan perubahan dan peningkatan dari segi kemahiran, kecergasan dan strategi permainan.

``Kekurangan dua peratus itu ialah dari segi ketahanan dan juga strategi permainan. Ini akan dibaiki dalam tempoh dua bulan sebelum Kejohanan Dunia pada 28 Julai hingga 3 Ogos depan,'' katanya.

Misbun bagaimanapun berkata kecergasan pemainnya kini pada tahap yang memuaskan.

``Ujian kecergasan yang dijalankan oleh Institut Sukan Negara bagi pasukan-pasukan yang akan menyertai Sukan SEA Vietnam, Disember ini mengesahkan pasukan badminton negara antara pasukan yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi,'' katanya.

Sementara itu, Misbun berkata Kejohanan Cabaran Elit Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan juga perlawanan persahabatan dengan negara luar tidak akan menjadikan pemainnya `memuncak terlalu awal'.

``Sejak awal tahun ini, pemain kurang menyertai kejohanan antarabangsa yang banyak ditunda akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

``Oleh itu kejohanan Cabaran Elit BAM dan perlawanan persahabatan akan membantu menilai tahap persiapan mereka sebelum ke Birmingham,'' katanya.

BAM akan menganjurkan Kejohanan Cabaran Elit bermula 3 Jun ini selama dua minggu dan merancang mengundang sebuah daripada pasukan dari Denmark, England ataupun Korea Selatan untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebelum Kejohanan Dunia bermula. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cx6dXLb8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan