Ahad, 26 Mac 2017

Tidak hadiri latihan di bawah kendalian Misbun -- Saya ada alasan - Ong



ARKIB : 09/01/2003 
BEKAS ketua pasukan negara Ong Ewe Hock, yang terbabit dengan kontroversi mengkritik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih berminat untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Pemain berpengalaman berusia 30 tahun itu menyangkal kenyataan ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek yang menganggap kegagalannya menghadiri latihan skuad negara menunjukkan dia sudah tidak berminat.

``Siapa kata saya tidak berminat lagi. Saya ingin memaklumkan bahawa saya masih berminat untuk bermain mewakili negara kerana saya yakin saya masih mampu sekurang-kurangnya beraksi pada tahap tertinggi buat dua tahun lagi,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Ong, yang tidak menghadiri latihan di bawah kendalian Misbun sejak dua hari lepas berkata, dia mempunyai alasan tersendiri untuk dikecualikan daripada latihan harian itu.

Menurut pemain itu, doktor Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil telah memberikannya surat kebenaran untuk berehat selama seminggu bermula semalam ekoran kecederaan tapak kaki kirinya yang berulang.

``Pada hari pertama Misbun mengendalikan latihan Rabu lepas, beliau telah bertanya pemain yang masih mengalami kecederaan dan saya telah memberitahunya tentang keadaan kecederaan kaki saya.

``Saya dibenarkan berehat oleh doktor selama seminggu dan hanya boleh menjalani latihan ringan serta perlu menjalani rawatan,'' katanya.

Dua hari lepas, Ong tidak menghadiri sesi latihan kerana diminta memberikan keterangan pada mesyuarat Jawatankuasa Disiplin BAM yang membicarakan kes kritikan di media terhadap Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples Embong.

Kelmarin, Ong telah memberitahu penolong jurulatih, Tey Seu Bock untuk dikecualikan daripada latihan bagi menguruskan masalah peribadi.

Misbun kelmarin kurang senang dengan tindakan Ong yang ponteng daripada sesi latihan selama dua hari berturut-turut selain beranggapan pemain itu sudah tidak berminat lagi untuk bermain

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cULyGuyd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan