Isnin, 27 Mac 2017

Peluang kedua tetap ada - Misbun

ARKIB : 04/02/2003
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
KETUA jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek mahu pemain yang terkeluar dari skuad kebangsaan agar menerima keputusan itu secara positif dan menjadikannya sebagai cabaran baru untuk mencari kejayaan.

Misbun berkata, pemain yang tersingkir tidak semestinya melupakan terus sukan badminton setelah begitu lama bergiat dalam bidang tersebut.

``Walaupun mereka terkeluar daripada skuad kebangsaan, tidak bermakna mereka tidak berpeluang menyertai kejohanan.

``Berdasarkan pemerhatian saya terhadap pemain-pemain yang terkeluar daripada skuad kebangsaan sebelum ini, mereka berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang lain, sama ada bekerja ataupun berniaga.

``Tetapi sebenarnya jiwa mereka tetap dengan sukan ini dan kedudukan mereka yang tidak dalam skuad kebangsaan menyemarakkan keinginan untuk kembali berlatih.

``Ia juga seolah-olah memberi semangat baru untuk memperoleh peluang kedua. Mereka sebenarnya boleh mendapatkan peluang ini tetapi harus berusaha sendiri membuktikan kemampuan.

``Mereka seharusnya berusaha sendiri menjadi tempat latihan atau jurulatih yang mahu membimbing mereka meningkatkan semula prestasi.

``Dan setelah bersedia, mereka boleh cuba mendapatkan penaja untuk menaja mereka menyertai kejohanan dalam dan luar negara.

``BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tidak akan menghalang jika mereka memohon untuk menyertai pertandingan. Ini baru dinamakan pemain badminton profesional.

``Mereka berusaha sendiri untuk mencari kejayaan dan selalunya golongan ini mempunyai semangat yang kuat untuk berjaya kerana kejayaan atau kegagalan penting untuk mereka terus mendapat sumber kewangan,'' katanya selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Beliau mengakui antara alternatif yang boleh digunakan oleh pemain-pemain itu adalah dengan menyertai kelab Nusa Mahsuri yang mempunyai jurulatih berpengalaman untuk membantu mereka.

Misbun berkata demikian ketika ditanya mengenai nasib beberapa pemain yang dijangka dikeluarkan daripada skuad kebangsaan selepas mesyuarat majlis BAM Sabtu ini.

Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd Salleh dijangka mengumumkan senarai pemain yang dikeluarkan daripada skuad kebangsaan berdasarkan prestasi dan potensi mereka di masa depan.

Misbun memberi contoh pemain veteran, Yong Hock Kin yang kini diberi kebenaran berlatih di BAM sehingga berakhirnya kejohanan Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Menurut Misbun, sejak tidak lagi berada dalam skuad kebangsaan dan terpaksa berusaha sendiri, Hock Kin menunjukkan komitmen yang tinggi untuk berjaya.

``Dia berlatih bersungguh-sungguh. Dia tidak pernah memberi kurang daripada 80 peratus komitmen semasa latihan dan jauh lebih baik daripada keadaannya semasa menjadi pemain kebangsaan sebelum ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWRuytGD

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan