ARKIB : 12/11/2002
JURULATIH Nusa Mahsuri, Misbun
Sidek dan Rashid Sidek dilihat sebagai antara calon terbaik untuk Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) bagi menggantikan tugas jurulatih perseorangan yang
dikosongkan oleh Indra Gunawan akhir tahun ini.
Walaupun enggan mendedahkan calon
pilihan, Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh tidak menafikan bahawa
jurulatih Nusa Mahsuri terutama Misbun telah membuktikan kemampuannya
melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.
Beliau juga mengakui BAM hanya
akan mengambil jurulatih tempatan berkaliber yang telah menunjukkan kemampuan
mereka melatih pemain bertaraf antarabangsa.
``Nusa telah menunjukkan usaha
yang bagus melahirkan jaguh di peringkat antarabangsa hasil perjuangan Misbun
dan Jalani (Sidek).
``Kami memang pernah berbincang
dengan mereka tetapi masih belum membuat keputusan mengenainya,'' kata Nadzmi
di Kuala Lumpur, semalam.
Nusa Mahsuri yang ditubuhkan enam
tahun lalu telah berjaya melahirkan dua pemain perseorangan, Mohd. Roslin
Hashim dan adiknya Mohd. Hafiz yang telah menjuarai kejohanan di peringkat
antarabangsa.
Namum pengambilan Misbun yang
merupakan tonggak utama menjadikan Nusa Mahsuri terkenal sehingga ke luar
negara pastinya menjejaskan perkembangan kelab tersebut.
Walaupun mempunyai jurulatih lain
seperti Rashid dan Rahman Sidek, namun kredibiliti Misbunlah yang menyebabkan
beberapa pemain luar negara termasuk dari Eropah dan Asia sanggup tinggal
beberapa bulan di negara ini untuk berlatih di bawah bimbingannya.
Dengan beberapa jurulatih
terkenal menamatkan kontrak dengan BAM secara kontroversi atau rasa tidak puas
hati, pengambilan Misbun bukan saja mempunyai implikasi kepada kelab tetapi
kepada dirinya sendiri.
Ke manakah jurulatih itu akan
pergi selepas beberapa tahun bersama BAM selepas kontraknya tamat atau
disingkirkan seperti Morten Frost Hansen?
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOk7452T©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan