Sabtu, 25 Mac 2017

Keputusan Misbun dan Yap selaku ketua jurulatih - BAM perlu jawapan segera



ARKIB : 29/11/2002
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET
DUA bakal ketua jurulatih badminton negara, Misbun Sidek dan Yap Kim Hock mempunyai tempoh sehingga pagi ini untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak dengan tawaran yang dikemukakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Keputusan kedua-dua jurulatih itu akan diumumkan oleh BAM hari ini setelah exco badan induk itu bersetuju dengan cadangan pihak pengurusan untuk memilih mereka.

Berikutan persetujuan itu, BAM telah menghantar surat tawaran kepada jurulatih kelab Nusa Mahsuri, Misbun dan bekas pemain beregu negara, Yap tengah hari semalam.

``Saya menunggu jawapan dari mereka hari ini (semalam) ataupun selewat-lewatnya esok (hari ini) kerana pengumuman mengenai kedudukan mereka akan dibuat pada sebelah petang,'' kata Pengurus Pentadbiran dan Kewangan BAM, Gangga Rao.

Menurut Gangga surat kepada kedua-dua calon ketua jurulatih itu telah diserahkan sendiri kepada mereka.

Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh kelmarin memaklumkan bahawa exco telah bersetuju dengan cadangan melantik dua ketua jurulatih tempatan bagi mengendalikan pemain perseorangan dan beregu negara.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan calon yang dipilih walaupun Misbun dan Yap sudah diketahui menjadi pilihan mereka untuk jawatan yang dikosongkan oleh Indra Gunawan dan Park Joo-bong.

Sementara itu Misbun ketika ditemui di Kelana Jaya pagi semalam sebelum menerima surat tawaran itu berkata, beliau perlu memikirkan banyak perkara sekiranya mahu menerima tawaran BAM menjadi jurulatih perseorangan kebangsaan.

``Bila dah dapat nanti (surat tawaran), saya kajilah apa kandungannya sebab buat masa ni saya pun tengah sibuk menyiapkan pemain-pemain seperti Roslin (Hashim), Hafiz (Hashim) untuk pertandingan akan datang, sebab ini memang kerja saya di sini,'' katanya.

Misbun yang kini memangku tugas sebagai Presiden Kelab Nusa Mahsuri ekoran kes mahkamah membabitkan Presiden yang juga adiknya Jalani berkata, beliau perlu membuat keputusan yang tepat mengenainya.

``Belum pun terjadi, spekulasinya sudah menjadi satu bebanan kepada diri saya sekarang ini.

``Tetapi kalau betullah BAM mahukan khidmat saya, saya anggap ini satu kesempatan buat saya untuk menggunakan segala pengalaman yang saya ada yang selama ini saya curahkan di peringkat kelab sahaja,'' katanya.

Misbun bagaimanapun gagal dihubungi pada sebelah petang untuk mendapatkan komennya mengenai surat tawaran BAM. Yap turut gagal dihubungi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPBkhRQY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan