Jumaat, 31 Mac 2017

Jangan ambil mudah Cabaran Elit - Misbun Sidek



ARKIB : 31/05/2003

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

PEMAIN kebangsaan diingatkan agar tidak mengambil mudah Kejohanan Badminton Cabaran Elit yang akan bermula di Stadium Juara, Bukit Kiara Isnin ini kerana ia bakal digunakan sebagai medan penilaian bagi tempoh lima bulan pertama 2003.

Ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Misbun Sidek berkata, meskipun tiada sebarang tindakan akan diambil daripada kejohanan itu, namun amaran bakal dikeluarkan kepada mereka yang gagal mempamer prestasi memuaskan.

Katanya lagi, peringatan tersebut juga boleh mendorong kepada pengguguran pemain terbabit daripada skuad kebangsaan jika mereka terus gagal menyerlah dalam tempoh penilaian kedua, dari Jun hingga ke akhir tahun ini.

``Saya mengambil serius kejohanan ini kerana ia akan menilai sejauh mana prestasi pemain dan penerimaan mereka sepanjang lima bulan pertama tahun ini,'' kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan di Bukit Kiara, semalam.

``Adalah tidak adil untuk menyingkirkan mereka hanya berdasarkan keputusan kejohanan ini. Namun, satu amaran tegas akan dikeluarkan jika mereka tidak memberikan persembahan seperti yang diharapkan.''

Menurut Misbun, tempoh penilaian kedua, selepas peringatan pertama diberi adalah waktu paling getir kerana pemain tersebut akan disingkir jika masih tidak memuaskan.

Justeru Misbun mengingatkan anak-anak buahnya agar melakukan persediaan terbaik menjelang Cabaran Elit 2003 atau bakal diberikan amaran keras.

Seramai 10 pemain kebangsaan akan berentap dalam perseorangan lelaki diketuai pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann, juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Mohd. Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Kuan Beng Hong, K. Yogendran, Mohd. Hazwan dan Tan Zhao Rong.

Juara Terbuka Malaysia, James Chua menarik diri kerana belum pulih daripada kecederaan. Turut terlepas saingan Cabaran Elit adalah perseorangan wanita, Ng Mei Fen yang juga menghadapi masalah kecederaan.

Pasangan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng akan mengetuai cabaran beregu lelaki bersama pasangan bermasalah, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Tujuh lagi beregu yang akan bersaing adalah Ong Soon Chiang-Lok Chong Hong, Mohd. Razif-Chin Shi Weng, Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun, Koo Kien Keat-Gan Tiek Chai, Lin Woon Fui-M. Fairuzizuan, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, M. Zakry-Jack Koh.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cxUpY7eI© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan