Sabtu, 1 April 2017

Misbun tenangkan pemain



ARKIB : 14/06/2003
Oleh Norzie Mohd. Khasbi

SELEPAS sembilan hari berentap dalam Cabaran Elit BAM 2003 yang berakhir di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam, pemain perseorangan negara akan kembali memulakan latihan dengan sesi yang agak ringan di Bukit Jalil, Isnin ini.

Pemain beregu senior pula tidak perlu segera ke kembali gelanggang selepas menamatkan saingan sembilan hari itu, sebaliknya mereka akan beralih ke Port Dickson dari 15-19 Jun ini.

Ketua jurulatih perseorangan, Misbun Sidek berkata, selepas mengharungi jadual pertandingan yang panjang dan ketat sejak minggu lalu, dia tidak bercadang memaksa pemain untuk segera memulakan latihan keras.

Sebaliknya, dia mahu membawa pemainnya menjalani latihan padang dan gimnasium di Bukit Jalil serta melakukan latihan kemahiran yang ringan di Bukit Kiara dari Isnin hingga Rabu ini.

``Pemain akan diberi rehat sepenuhnya pada hari Sabtu dan Ahad. Mereka kemudian akan kembali menjalani latihan pada hari Isnin di Bukit Jalil,'' katanya di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

``Saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa memanggil pemain kembali ke gelanggang selepas sembilan hari mereka menghabiskan masa di sini. Jika berlatih di Bukit Kiara pun kami hanya mengambil masa di sebelah petang, itupun hanya untuk latihan ringan.''

Menurut Misbun, pemainnya hanya akan kembali memulakan latihan biasa Khamis ini dengan Lee Tsuen Seng, yang beraksi hambar dalam saingan individu Cabaran Elit akan berlatih setengah jam lebih awal daripada rakan-rakan senior lain.

Katanya lagi, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya sepanjang Cabaran Elit, terutama beberapa pemain remaja yang menunjukkan peningkatan besar seperti Yeoh Kay Bin dan Lee Chong Wei.

Kejohanan dalaman yang menawarkan RM41,100 itu juga katanya memberi peluang kepadanya untuk mengenal pasti kelemahan pemain yang akan beraksi pada Kejohanan Dunia di Birmingham, bulan depan.

``Sekurang-kurangnya saya tahu di mana harus bermula sebaik sesi latihan kembali dibuka selepas berehat panjang untuk memberi laluan kepada Cabaran Elit.

``Saya telah menjadikan kejohanan ini sebagai sesi penilaian. Ada pemain yang telah menunjukkan banyak kemajuan, ada yang statik dan ada yang hambar.''

Tiga pemain yang akan beraksi pada Kejohanan Dunia, diketuai oleh pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann, juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng antara yang akan berada di Bukit Jalil Isnin ini.

Turut menyertai sesi latihan adalah Mohd. Roslin Hashim, Kay Bin, Chong Wei, K. Yogendran, Tan Zhao Rong, Kuan Beng Hong dan Mohd. Hazwan.

Sementara itu ketua beregu kebangsaan, Yap Kim Hock berkata, beliau tidak mahu latihan pantai di Glory Beach Resort, Port Dickson dianggap sesi ringan.

Katanya, selepas sebulan menumpukan kepada latihan kemahiran di atas gelanggang, beliau mahu membawa pemain keluar dari persekitaran yang sama tetapi bukan untuk bergembira.

``Saya dapati latihan di luar Kuala Lumpur baik untuk menukar mood pemain, selain dapat membantu meningkatkan moral mereka,'' kata Kim Hock.

``Sekarang, fokus kami adalah kepada keadaan mental dan fizikal. Sebanyak enam sesi akan diadakan sepanjang di Port Dickson dan kami akan bekerjasama dengan pelatih kecergasan dari MSN (Majlis Sukan Negara).''

Beregu Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang akan membawa cabaran Malaysia di Birmingham akan mengetuai senarai pasangan ke Port Dickson.

Pasangan lain yang turut menyertai latihan pantai itu adalah Chang Kim Wai-Hong Chieng Hun, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui, Koo Kien Keat-Gan Teik Chai, Mohd. Zakry Latif-Jack Koh, Ong Soon Hock-Tan Bin Shen, Ong Soon Chiang-Lok Chong Hong dan CHin Chi Weng-Mohd. Razif Latif.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cywWLU2x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan