ARKIB : 28/07/2003
BIRMINGHAM, England - Pada ketika
ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Misbun Sidek cukup berkeyakinan
untuk melihat anak-anak buahnya memulakan saingan Kejohanan Dunia esok, keadaan
yang sama tidak dirasai rakan sejawatnya dalam acara beregu, Yap Kim Hock.
Kim Hock mengakui beliau tidak
dapat menyembunyikan keresahannya apabila kedua-dua beregunya memulakan
cabaran, terutama pasangan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang dianggap tidak
sematang beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
Malah, beregu nombor satu negara
itu juga sudah agak lama sepi daripada sebarang pertandingan antarabangsa
selepas mengetepikan Terbuka Korea dan Jepun, April lalu.
Penampilan terakhir bekas
pasangan nombor satu dunia itu adalah pada Terbuka Switzerland dan Seluruh
England Februari lalu, sekadar melangkah ke pusingan kedua pada kedua-dua
kejohanan.
``Saya yakin Chong Ming-Choon Eng
telah cukup bersedia untuk menghadapi Kejohanan Dunia tetapi apa yang sedikit
membimbangkan adakah mereka bersedia untuk membuat penampilan semula pada
saingan antarabangsa selepas beberapa bulan tidak beraksi,'' kata Kim Hock
selepas sesi latihan di National Indoor Arena, di sini semalam.
``Saya jangkakan mereka mungkin
menghadapi sedikit masalah menyesuaikan diri dalam awal perlawanan mereka tetapi
harap ia dapat diatasi apabila masuk set kedua. Apa pun, menentang pasangan
England (Anthony Clark-Nathan Robertson) tidak semudah itu,'' katanya lagi.
Kebimbangan Kim Hock jelas
berasas kerana beregunya itu tidak menunjukkan aksi yang baik kebelakangan ini,
termasuk tewas pada penampilan terakhir mereka kepada pasangan bidan terjun
Korea, Kim Dong Moon-Lee Dong Soo 6-15, 15-11, 11-15 pada aksi persahabatan,
bulan lalu.
Jika berjaya melepasi halangan
pilihan ke-10, Clark-Robertson, dijangka menanti pada pusingan ketiga adalah
pilihan kedua dari Korea, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung.
Menurut Kim Hock, beliau agak
yakin terhadap pasangan Tan Fook-Wan Wah sekalipun mereka akan memulakan
saingan menentang juara Seluruh England, Candra Wijaya-Sigit Budiarto dari
Indonesia pada pusingan pertama.
Pencapaian terbaik Malaysia pada
Kejohanan Dunia adalah muncul naib juara yang dilakukan oleh b Razif
Sidek-Jalani Sidek (Beijing 1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (Birmingham
1993) dan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1997 di Glasgow.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dB4OIZad
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan