Ahad, 23 April 2017

Kesilapan sendiri - Misbun

ARKIB : 01/07/2004
KESILAPAN sendiri yang dilakukan oleh Wong Choong Hann membawa padah apabila dia akhirnya tunduk kepada pemain Denmark, Peter Rasmussen pada pusingan awal Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, semalam.
Malah kekalahan itu turut menyerlahkan kelemahan pemain perseorangan utama negara itu yang masih gagal mengatasi tekanan setiap kali berhadapan dengan lawan yang memiliki kekuatan seimbang dengannya.
Jurulatih negara, Misbun Sidek ketika ditemui berkata, anak didiknya itu telah melakukan beberapa kesilapan yang tidak seharusnya dilakukan dan tidak menggunakan kesempatan yang terbuka untuk mengutip mata daripada lawannya.
``Saya lihat Choong Hann tak serang Peter sewaktu dia ada peluang dan saya perhatikan dia lebih banyak bertahan berbanding menyerang lawan,'' katanya.
Misbun menambah, sikap suka bertahan itu akhirnya memakan diri apabila Rasmussen menggunakan peluang tersebut untuk menyerang Choong Hann.
Beliau mengakui Choong Hann ada memberi tentangan kepada lawannya tetapi ia tidak cukup untuk meletakkan pemain nombor tiga dunia itu di kedudukan yang selesa.
``Lawan tak rugi apa-apa kalau dia tak menyerang tetapi Peter mengambil kesempatan ke atas Choong Hann yang semakin tertekan dan tidak dapat bermain dengan baik,'' ujarnya.
Misbun menjelaskan, kekurangan yang masih ada pada Choong Hann perlu diperbaiki segera sebelum Kejohanan Olimpik bulan depan.
Katanya, persiapan ke Olimpik baru sahaja memasuki fasa yang lebih spesifik dan Kejohanan Terbuka Malaysia digunakan untuk melihat sejauh mana prestasi pemain kebangsaan setakat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan