Isnin, 3 April 2017

Tugas saya belum selesai - Misbun



ARKIB : 05/08/2003

BIRMINGHAM, England - Ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek menegaskan tugasnya masih banyak yang belum selesai sekalipun dia sudah boleh dianggap antara jurulatih paling berjaya setakat ini Ñ melahirkan juara Seluruh England dan naib juara dunia.

Menurut Misbun, kejayaan sebenar baginya adalah apabila pemain-pemainnya berjaya muncul juara dunia, merangkul pingat emas Sukan Olimpik dan membantu Malaysia menjuarai Piala Thomas.

Walaupun tidak menafikan gembira dengan pencapaiannya setakat ini, termasuk pernah membantu Mohd. Roslin Hashim muncul pemain nombor satu dunia pada 2001, masih banyak kerja yang perlu dilakukan jurulatih itu terutama menyediakan barisan terbaik bagi menghadapi Sukan Olimpik dan Piala Thomas tahun depan.

``Sebagai jurulatih saya sebenarnya belum berjaya sepenuhnya, tetapi pencapaian saya agak baik dan menggembirakan setakat ini,'' kata Misbun, yang mengambil alih jawatan ketua jurulatih perseorangan daripada jurulatih veteran Indonesia, Indra Gunawan pada Disember tahun lalu.

``Banyak perkara yang ingin saya capai ketika menjadi pemain tidak tercapai kerana itu saya begitu bersemangat untuk membantu pemain-pemain saya melakukan apa yang saya gagal lakukan. Hafiz sudah muncul juara Seluruh England tetapi saya tidak mahu hanya ada seorang Hafiz.

``Choong Hann sudah muncul naib juara dunia, tetapi saya rasa dia boleh menjadi juara pada masa akan datang jika teruskan beraksi baik dan saya akan membantunya.

``Lee Tsuen Seng, Roslin, Lee Chong Wei dan Yeoh Kay Bin adalah pemain-pemain yang boleh meraih gelaran besar, tetapi harus dipermantapkan.

``Jadi sebenarnya banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan untuk melaksanakan semua harapan saya ini, yang saya fikir juga sebagai harapan seluruh rakyat Malaysia.''

Pencapaian terbaik Misbun sebagai pemain adalah muncul naib juara Seluruh England namun sebagai jurulatih dia telah membantu Hafiz menjuarai gelaran itu selepas 37 tahun menanti. Dia juga gagal melayakkan diri ke suku akhir ketika beraksi pada Kejohanan Dunia, tetapi membantu Roslin melakukannya dan Choong Hann pula muncul naib juara.

Walaupun tidak berada dalam pasukan kebangsaan ketika Malaysia muncul naib juara Piala Thomas di China tahun lalu, Misbun merupakan jurulatih yang bertanggungjawab menyediakan dua tonggak utama negara pada kejohanan itu - Hafiz dan Roslin.

Hafiz telah memenangi perlawanan penting, mengalahkan Bao Chunlai 1-7, 7-4, 8-7, 1-7, 7-5 untuk memastikan kemaraan Malaysia ke suku akhir pada kejohanan itu. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0805&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dBqDeuqO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan