ARKIB : 21/08/2004
Bukan bertujuan mencari alasan atau punca kegagalan pasukan negara dalam saingan Olimpik di Athens, bekas pemain perseorangan negara itu berkata, beliau ``kepenatan'' kerana terpaksa memberi tumpuan kepada ramai pemain, bukan sahaja untuk Sukan Olimpik tetapi sepanjang beliau menjadi jurulatih.
``Kalau saya diberi pilihan, saya mahukan seorang jurulatih mengendalikan dua atau tiga pemain dan bukan seorang jurulatih yang terpaksa memberi tumpuan kepada semua pemain. Dengan cara itu, kita dapat mencurahkan taktik atau teknik permainan dengan strategi yang berbeza,'' kata Misbun.
``Sebenarnya saya sudah penat,'' kata Misbun sambil berkata, tugas membuat analisis terhadap seseorang pemain bukannya mudah dan menyerahkan kepada majikannya, Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukan masa depannya bersama pasukan kebangsaan.
Menurut Misbun, beliau pernah menyuarakan hasrat dan pandangan itu sejak mengambilalih tugas selaku jurulatih kebangsaan tetapi pandangannya tidak mendapat tempat.
``Lihat sahaja bagaimana Indonesia menyiapkan pasukan mereka. Taufik (Hidayat) misalnya mempunyai jurulatihnya sendiri untuk menghadapi temasya di sini. ``Kalau boleh saya mahukan seorang lagi jurulatih, Rashid (Sidek) berada di sini membantu tetapi tidak mendapat kebenaran,'' katanya sambil merujuk bahawa seorang lagi jurulatih untuk acara beregu, Cheah Soon Kit menerima nasib yang serupa.
Mengulas mengenai kegagalan pasukan negara pada temasya di sini, Misbun sebelum ini pernah berkata bahawa misinya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya untuk membawa pulang sebutir pingat menemui kegagalan.
Ini merupakan kegagalan kedua pasukan badminton negara dalam menghadapi kejohanan besar. Sebelum ini, Malaysia gagal ketika bertanding dalam kejohanan Piala Thomas di Jakarta, Mei lalu.
Menurut Misbun, apa yang membimbangkannya, Malaysia tidak mempunyai kumpulan pemain yang ramai untuk mengisi kekosongan pemain senior yang mungkin tidak lagi beraksi selepas ini.
``Saya memerlukan pemain dalam lingkungan usia 15 tahun untuk dibentuk menjadi pemain terbaik dunia. Namun, budaya kita berbeza, kerana dalam usia itu, mereka (pemain) masih menuntut dan ibu bapa mereka lebih mahukan anak-anak mereka berjaya dalam bidang akademik.
``Saya mahukan kumpulan pemain muda, yang tidak boleh atau mampu melanjutkan pelajaran mencuba bidang baru ini,'' katanya.
Menurut beliau lagi, terlalu sukar mencari pemain berbakat di seluruh negara untuk menambah kumpulan pemain yang ada ``Sebab itu, saya hanya menemui satu Lee Chong Wei di Pulau Pinang,'' kata Misbun merujuk proses mencari bakat yang dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia.
Kegagalan pasukan badminton di sini terus menjadi kritikan kerana ramai yang menganggap bahawa ia satu pencapaian buruk berbanding ketika menyertai temasya di Sydney, empat tahun lalu. Dalam temasya itu, Malaysia juga pulang tanpa sebarang pingat menerusi acara badminton.
Namun ketika itu, pencapaian pemain seperti Wong Choon Hann dan pasangan Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah lebih baik kerana mereka masing-masing mara ke suku akhir dan separuh akhir.
Dalam temasya di Athens, pemain perseorangan negara tumbang di pusingan kedua sementara Tan Fook-Wan Wah gagal di suku akhir.
Pengurus pasukan badminton negara, Datuk Lim Teong Kiat berkata, tidak adil untuk mempersalahkan pihak pengurusan di atas kegagalan Malaysia dalam temasya ini.
``Mereka datang dengan reputasi, kedudukan ranking dan persiapan mental yang baik tetapi masih gagal.
``Para pemain telah melakukan yang terbaik. Dalam sukan, adakalanya kita memerlukan sedikit tuah,'' kata Lim dalam majlis pertemuan di antara Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Mohd. Said, dengan para atlet negara di perkampungan sukan, semalam.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh para atlet. Turut sama, Sultan Perak, Raja Azlan Shah bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dan ketua kontinjen negara, Datuk Dr. M. Jegathesan.
Azalina yang sudah berada di Athens sejak dua hari lalu bertemu para atlet dan jurulatih untuk mendapatkan maklum balas terhadap penyertaan mereka dalam temasya ini. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan