![]() |
MISBUN bertemu jurulatih
baru dari China, Li Mao yang akan membantunya melatih pemain badminton
elit kebangsaan pada sidang akhbar di Bukit Kiara semalam.
|
JURULATIH negara, Misbun Sidek dan jurulatih baru dari China, Li Mao akan berganding membimbing pemain elit yang bakal dipecahkan kepada dua kumpulan - skuad 2006 dan 2008 dalam struktur baru badminton kebangsaan yang akan diumumkan Jumaat ini.
Pengumuman tersebut dilakukan oleh presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh semalam, sekali gus mengesahkan bahawa kehadiran Li Mao bukan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih.
Sebaliknya Misbun kini menjadi calon pilihan untuk menyandang jawatan berkenaan selepas BAM menegaskan bahawa ia hanya akan diisi oleh seorang jurulatih tempatan.
Dan, sekiranya Misbun mendapat kepercayaan itu apabila exco BAM
bermesyuarat Jumaat ini, ia bermakna dia harus bersedia untuk memikul
dua tugas - ketua jurulatih dan jurulatih salah satu daripada skuad elit
- 2006 atau 2008.
Malah, jika Li Mao disahkan bakal menandatangani kontrak dua tahun
dengan opsyen dua tahun bersama pasukan Malaysia, BAM juga mengesahkan
bahawa kontrak Misbun yang berakhir pada Disember lalu turut
dilanjutkan.
``Kehadiran Li Mao bukan untuk mengambil alih tugas Misbun atau
jurulatih tempatan, malah bukan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih,''
kata Nadzmi pada sidang akhbar di Bukit Kiara semalam.
``Dia akan membantu Misbun membimbing pemain-pemain elit yang bakal
dipecahkan kepada dua kumpulan - skuad untuk 2006 dan pasukan untuk
2008.
``Struktur baru pasukan kebangsaan ini dibuat bagi membolehkan pemain
memberi tumpuan kepada sasaran mereka, namun butiran terperinci
mengenai kedudukan sebenarnya hanya akan dibincang pada mesyuarat exco,
Jumaat ini.''
Menurut Nadzmi, kedua-dua pasukan akan dibarisi oleh pemain yang
berbeza dengan fokus yang juga berbeza. Tumpuan utama skuad 2006 adalah
Sukan Asia Doha selain Sukan Komanwel, manakala pasukan 2008 pastinya
Sukan Olimpik di Beijing.
Katanya lagi, para pemain juga terdiri daripada pelbagai peringkat
umur dengan kemungkinan besar turut dibarisi pemain dari Sekolah Sukan
Bukit Jalil dan pemain remaja daripada pasukan-pasukan negeri.
Misbun dijangka memilih untuk melaksanakan program jangka panjang
dengan kemungkinan membimbing pemain muda seperti Lee Chong Wei, Kuan
Beng Hong, Yeoh Kay Bin serta pemain-pemain remaja.
Li Mao pula mungkin melatih pemain elit seperti Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Muhd. Hafiz Hashim dan Mohd. Roslin Hashim.
``Kalau hendak menang pingat Sukan Olimpik kita perlu bersedia lebih
awal, bukannya dua tahun sebelum temasya itu bermula,'' kata Nadzmi.
``Kita memerlukan satu formula terbaik kalau mahu berjaya, struktur baru ini adalah formula terbaik kita ketika ini.''
Nadzmi juga menegaskan, keputusan untuk mengambil jurulatih luar
bukan bermakna badan badminton kebangsaan itu sudah hilang kepercayaan
kepada jurulatih tempatan.
Tegasnya, jurulatih tempatan seperti Misbun dan Yap Kim Hock (beregu)
merupakan jurulatih yang berwibawa tetapi Malaysia kekurangan jurulatih
seperti ini untuk melatih pemain-pemain bertaraf dunia.
``Kehadiran Li Mao adalah untuk menampung kekurangan dan membantu
Misbun, jadi tidak timbul soal kita tidak percaya kepada jurulatih
tempatan.''
Sementara itu Nadzmi juga berkata, BAM sedang mencari jurulatih
beregu baru untuk membantu Kim Hock dengan struktur yang sama digunakan
dalam program pemain perseorangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan