Sabtu, 6 Mei 2017

Misbun tidak berminat -- Jawatan Ketua Jurulatih

ARKIB : 12/01/2005

LI MAO (kiri) turut menyertai sesi taklimat yang diadakan oleh Misbun selepas tamat latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.



Misbun Sidek mengakui beliau tidak berminat untuk mengekalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih kebangsaan sebaliknya lebih senang jika hanya bergandingan dengan jurulatih baru dari China, Li Mao melatih pemain-pemain elit negara.
Misbun yang kini menjadi calon pilihan untuk memikul tugas ketua jurulatih selepas Persatuan Badminton Malaysia mengesahkan ia tidak akan dibuka kepada orang luar berkata, menjadi jurulatih prestasi tinggi sepenuh masa memberi lebih kepuasan kepadanya.
Katanya, beliau tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kepakaran dalam bidang teknikal jika terpaksa memikul tanggungjawab ketua jurulatih kerana keadaan akan menjadi lebih terikat dan terhad.
``Ia (tugas ketua jurulatih) adalah soal tanggungjawab. Bukan saya tak mahu pikul tanggungjawab tetapi skop saya akan menjadi lebih besar dan pasti saya tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan pemain,'' kata Misbun pada sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
``Kepakaran saya adalah dalam bidang kejurulatihan, bukan pengurusan. Sudah tentu saya tidak dapat menggunakan kepakaran saya itu secara maksimum jika pada masa yang sama terpaksa pula menjalankan kerja-kerja pengurusan.
``Sebagai ketua jurulatih, anda perlu masuk bilik mesyuarat, pantau perkembangan semua pemain. Ia sudah tentu menghadkan apa yang ingin saya lakukan.''
Bagaimanapun tegas Misbun lagi, beliau menyerahkan kepada BAM untuk menentukan kedudukannya dalam skuad kebangsaan dan bersedia dengan sebarang keputusan yang akan diputuskan Exco pada mesyuarat Jumaat ini.
Malah, beliau berjanji akan memberi komitmen penuh walau apapun posisi yang bakal diterima, selain yakin dapat segera mencapai persefahaman dengan Li Mao.
``Kami (hubungan dengan Li Mao) patut tiada masalah. Saya yakin kami akan saling memahami tugas masing-masing.
``Saya yakin kemasukannya akan menguatkan pasukan negara, tidak timbul soal bersaing atau siapa latih siapa. Kami mungkin akan melatih pemain yang sama secara bergilir, hari ini mungkin saya latih (Lee) Chong Wei, esok Li Mao pula.''
Misbun percaya walaupun memiliki dua jurulatih, keadaan tersebut tidak akan mengundang kekeliruan kepada pemain kerana kebanyakan pemain elit mempunyai pengalaman yang luas untuk menerima apa jua bentuk latihan.
Kenyataan Misbun itu disokong oleh pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei yang mengakui beliau bersedia untuk berada di bawah bimbingan Li Mao, sekalipun mengakui semakin selesa dengan Misbun.
Begitupun juara Terbuka Malaysia dan Taiwan itu mengakui, dia mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jurulatih baru tetapi menegaskan ia bukanlah satu masalah besar.
``Dulu saya berlatih dengan Indra (Gunawan, bekas jurulatih kebangsaan) kemudian tukar kepada Misbun. Keadaan pada ketika itu agak sukar kerana corak latihan Indra dan Misbun jauh berbeza,'' kata Chong Wei.
``Indra lebih gemar menggunakan pendekatan psikologi dengan latihan yang agak ringan, Misbun pula lebih kepada latihan fizikal yang keras bagi memastikan setiap pemainnya cergas.
``Saya menunjukkan kemajuan besar bersama Misbun. Dia telah membantu menaikkan ranking saya daripada 129 kepada nombor lapan dunia sekarang.
``Kalau boleh saya mahu terus bersamanya tetapi terserah kepada pihak pengurusan dan jurulatih untuk menentukan apakah program latihan saya selepas ini.''

Tiada ulasan:

Catat Ulasan