ARKIB : 27/03/2005
KUALA LUMPUR - Setelah berjaya
menggilap Muhammad Hafiz Hashim menjadi juara Seluruh England 2003 dan Wong Mew
Choo mengungguli perseorangan wanita pada Sukan SEA 2003, tumpuan jurulatih
perseorangan negara, Misbun Sidek kini terarah kepada Kuan Beng Hong.
``Berikan saya masa setahun
setengah dan saya akan pastikan Beng Hong mampu menjadi pemain terbaik negara
ketika itu,'' katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Beng Hong, 21, merupakan
seorang daripada pemain perseorangan negara selain Hafiz yang dipilih untuk
dilatih sendiri oleh Misbun selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
mengambil seorang lagi jurulatih perseorangan dari China, Li Mao dan memilih
bekas jurulatih beregu negara, Yap Kim Hock sebagai ketua jurulatih kebangsaan
pada Februari lepas.
Li Mao bertanggungjawab melatih
baki perseorangan lelaki negara yang lain termasuk pemain perseorangan utama
negara, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng dan Yeoh Kay Bin.
``Saya kini dapat menumpukan
sepenuh perhatian kepada dua pemain jagaan saya, Hafiz dan Beng Hong. Hafiz
telah mantap permainannya dan kini giliran Beng Hong untuk digilap.
``Beng Hong mempunyai kelebihan
semula jadi untuk muncul antara pemain terbaik dunia. Tanggungjawab saya ialah
menunjukkan jalan bagaimana Beng Hong perlu memanipulasi kelebihannya itu,''
kata Misbun.
Misbun berkata, Beng Hong,
pemain pelapis yang dinaikkan taraf ke skuad senior negara selepas persembahan
meyakinkan pada beberapa kejohanan pada tahun lepas.
``Bagaimanapun, Beng Hong
memerlukan masa untuk mematangkan permainannya dan perlu terus dihantar ke
kejohanan antarabangsa,'' katanya.
Musim lepas, Beng Hong muncul
naib juara dalam dua kejohanan antarabangsa iaitu Terbuka Taiwan pada Disember
apabila tewas 4-15, 10-15 kepada Chong Wei pada pusingan akhir dan Satelit Asia
di Singapura pada September, tewas 12-15, 5-15 kepada pemain tuan rumah,
Kendrik Lee.
Sehingga Mac ini, Beng Hong
telah dihantar menyertai empat kejohanan antarabangsa bermula dengan Terbuka
Korea (25-30 Januari), Terbuka Jerman (28 Februari-5 Mac), Kejohanan All
England (8-13 Mac) dan Terbuka Switzerland (15-20 Mac). Pencapaian terbaiknya
ialah pada Terbuka Switzerland bila berjaya ke peringkat suku akhir. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iKmy1qDS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan