Jumaat, 9 Jun 2017

Pengorbanan Misbun untuk Chong Wei



Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
 
MISBUN (kanan) akan kembali membimbing Chong Wei selepas bersetuju untuk menyertai BAM.

LEGENDA badminton negara, Datuk Misbun Sidek membuat keputusan menerima tawaran selaku ketua jurulatih acara perseorangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ekoran rayuan Datuk Lee Chong Wei.

Menurut Misbun, pujukan serta rayuan jaguh perseorangan lelaki negara itu telah membuka pintu hatinya untuk kembali ke pangkuan BAM.

Jurulatih berusia 57 tahun itu mengakui pujukan serta rayuan Chong Wei yang dianggap sebagai anak sendiri nyata menyentuh hatinya sebelum membuat keputusan menerima tawaran badan induk badminton negara itu.

“Sebab utama saya menyahut cabaran untuk kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pada kali ini adalah kerana Datuk Lee Chong Wei.

“Apa yang menyentuh hati saya ialah kali ini dia (Chong Wei) sangat berharap agar saya kembali. Mungkin dia mahu menamatkan kariernya bersama saya.”

“Selepas melihat kesungguhannya, saya tanya apa sebab untuk saya kembali dan dia menceritakan segala-galanya kepada saya. Saya akur dan terima tawaran ini khas untuk dia (Chong Wei),” kata Misbun semalam.

Misbun yang pernah bersama BAM pada 2002 hingga 2011 percaya Chong Wei yang pernah digilap sehingga menjadi pemain handalan dunia berhasrat untuk berada di bawah kendaliannya sebelum menamatkan karier sebagai pemain badminton.

“Dia sudah macam anak sendiri dan sudah tentu saya akan tolong kerana sudah banyak kali dia datang berjumpa saya. Mungkin dia harapkan sentuhan penghabisan daripada saya ataupun mahu menamatkan kariernya bersama saya.

“Bagaimanapun adakah BAM terima saya seadanya? Oleh sebab itu saya jumpa dengan Datuk Seri Mohd. Norza Zakaria dan berbincang mengenai keikhlasannya mahu saya kembali ke BAM. Kalau diikutkan, saya tidak mahu tetapi demi Chong Wei saya bersetuju balik (ke BAM),” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, jurulatih kelahiran Banting, Selangor itu juga seolah-olah memberi amaran awal kepada pemain-pemain muda lain agar menghormati serta sedia menerima latihan keras yang bakal diterapkan beliau sebaik sahaja memulakan tugas 1 Julai depan.

“Jika pemain perlukan saya, mereka perlu ikut apa yang saya mahu. Saya mahu lihat kesungguhan mereka, jadi dari situlah saya tahu apa yang perlu dibantu. Saya mahukan pemain yang komited kerana mereka dibayar untuk bermain.

“Sudah tentu persatuan sudah berikan mereka garis panduan yang perlu diikuti, jadi mereka tidak boleh salahkan sesiapa sekiranya mereka digugurkan. Saya tidak mahu pemain yang sekadar menjadi penumpang sahaja,” tegas Misbun.

Misbun yang dilantik dengan kontrak selama dua tahun itu memiliki misi sukar membantu skuad negara membawa pulang Piala Thomas ke tanah air.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jY5Wz8wo
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan