18 Jun 2017

Misbun Sidek
BEKAS pemain kebangsaan yang
dipilih menjadi jurulatih kebangsaan perlu diberi pendedahan di peringkat lebih
rendah bagi memantapkan pengalaman dan kemahiran, kata ketua jurulatih perseorangan
badminton negara, Datuk Misbun Sidek.
Beliau berkata, mereka perlu
diberi pendedahan seperti murid di sekolah sukan sebelum berkhidmat dengan skuad kebangsaan
kerana pengalaman lalu akan memberi impak besar terhadap apa yang akan mereka
berikan kepada pemain negara.
"Kalau bekas atlet
kebangsaan ini tiba-tiba ada di atas (menjadi jurulatih), mereka nak kawal
atlet kebangsaan ini untuk sesuatu teknik, nanti pemain itu akan rasa, dia
(jurulatih) pun tak pernah menang...ini sebenarnya yang susah," katanya
kepada pemberita semalam.
Beliau berkata demikian apabila
diminta mengulas mengenai bekas perseorangan
badminton negara Muhammad Hafiz Hashim dijangka menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) menjelang September ini.
Terdahulu, beliau berbuka puasa
bersama anak yatim piatu anjuran Gifted Community dan Komuniti I love Manjung
(KILM) di Syarikat Setia Awan Holdings Sdn Bhd di sini semalam.
Misbun merupakan duta bagi
projek baharu syarikat perumahan tersebut di Bandar Baru Setia Awan Perdana
(BBSAP), yang mana sebuah dewan diberi nama Dewan Badminton Datuk Dr Hj Misbun
Sidek akan didirikan di bandar itu sebagai pusat bagi melahirkan pemain
badminton baharu.
Mengulas mengenai kekalahan
pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei pada pusingan kedua Siri Super
Premier Terbuka Indonesia, Jumaat lalu, Misbun berkata, beliau melihat
kekalahan tersebut dari sudut positif dan tidak akan menganggu misi untuk
memenangi Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti.
"Chong Wei sebenarnya
tidak tahu dia adalah sasaran utama dan mereka (pemain lain) tahu kelemahan dan
corak permainan dia, jadi dia perlu sedar mengenai perkara itu. Mungkin dia
juga keliru dengan corak permainan dia dengan jurulatih-jurulatih berbeza
sebelum ini," katanya.
Sehingga kini, Misbun
menjangkakan usaha melahirkan pemain badminton kebangsaan setanding Datuk Lee
Chong Wei akan mengambil masa 10 ke 20 tahun lagi berikutan tiada pelapis
negara yang mampu menandingi pemain berumur 34 tahun itu.
"Ini terjadi pada semua negara.
Contohnya, Indonesia juga masih gagal mencari pengganti Taufik Hidayat,
Thailand juga gagal mencari pengganti Boonsak Ponsana, manakala Denmark
setidak-tidaknya Peter Gade digantikan Victor Axelsen.
"Perancangan jangka masa
panjang sangat penting maka sebab itu apabila gabungan persatuan melihat pada
pembangunan junior remaja, itu adalah amat penting, kalau tidak setakat itu
sahaja," katanya yang bakal memulakan kariernya sebagai ketua jurulatih
perseorangan negara semula, awal Julai nanti.
Misbun adalah individu yang
bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga
muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran
Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik
dan tiga kejuaraan All England.
Namun, beliau meletak jawatan
sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran
BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun
kemudian pada 2013 atas 'sebab peribadi'. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18
jun 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan