SHAPAWI yakin dengan kemampuan
Misbun.
KEPULANGAN legenda badminton negara,
Datuk Misbun Sidek ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku ketua
jurulatih perseorangan negara merupakan keputusan yang tepat.
Demikian tegas Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Menurut Shapawi, Misbun
merupakan antara jurulatih terbaik pernah dilahirkan oleh BAM dan sebagai
seorang yang pernah bekerjasama dengan Misbun sebelum ini, beliau percaya
kepulangan legenda badminton negara itu bakal mengembalikan kegemilangan pemain
perseorangan negara.
“Dengan kehadiran Misbun dalam
BAM, beliau akan membantu meningkatkan prestasi pemain No. 1 negara, Datuk Lee
Chong Wei serta membangkitkan kembali semangat pemain perseorangan badminton
negara yang lain.
“Beliau juga akan memastikan
kesinambungan dalam melahirkan pemain-pemain muda yang bakal menggantikan
tempat Chong Wei pada masa akan datang,” kata Shapawi ketika ditemui pada
program Kasih Sesuci Lebaran bersama 73 anak yatim anjuran Persatuan Suri dan
Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Belia dan
Sukan (KBS) dengan kerjasama Nouvelles Visages di Mydin Mall, Subang Jaya
semalam.
Shapawi berkata, dalam usaha
Chong Wei untuk bergelar juara dunia, pemain itu memerlukan sokongan serta
bimbingan daripada jurulatih berpengalaman dan individu yang benar-benar
mengenali rentak permainannya.
“Kita harus menyokong hasrat
Chong Wei yang masih lagi ingin menabur bakti serta mengharumkan nama negara
walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun.
“Jadi, keazaman beliau yang
ingin menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti memerlukan sokongan jurulatih
mantap dan Misbun merupakan pilihan tepat,” katanya.
Shapawi berpendapat, dengan
kepulangan Misbun, pemain-pemain muda dalam BAM juga akan menerima tempias
berkaitan strategi permainan serta kemahiran teknikal dalam setiap latihan yang
dikendalikannya nanti.
Misbun merupakan individu yang
bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei hingga
muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran
Siri Super dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan
Olimpik dan tiga kejuaraan Seluruh England.
sumberArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jdwoQoZK
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan