Selasa, 25 April 2017

Misbun akhirnya ke Athens

ARKIB : 11/08/2004
CAMPUR tangan Majlis Sukan Negara (MSN) akhirnya membantu jurulatih perseorangan badminton negara, Misbun Sidek berlepas ke Athens semalam selepas dia tidak dibenarkan ke luar negara ketika mahu menyertai pemain negara berangkat ke Greece Ahad lalu.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad berkata, masalah `teknikal' yang menghalang Misbun ke luar negara ketika mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad lalu dapat diselesaikan dengan segera
``Sejurus mendapat tahu masalah yang menimpa Misbun, MSN berusaha sedaya upaya membantu menyelesaikannya.
``Kini segalanya sudah diatasi dan Misbun telah pun berlepas ke Athens semalam untuk menyertai para pemain negara yang sudahpun berada di Athens sejak kelmarin.
``Ia merupakan berita gembira buat pemain negara yang sebelum ini bimbang apabila Misbun tidak dapat menyertai penerbangan mereka ke Athens Ahad lalu,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Misbun sepatutnya berlepas ke Athens dari KLIA bersama pasukan badminton negara Ahad lalu tetapi dikatakan tidak dibenarkan meninggalkan negara berikutan masalah teknikal.
Keadaan itu menyebabkan sembilan pemain badminton negara, Wong Choong Hann, Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah, Chew Choon Eng, Chan Chong Ming, Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui, diiringi pengurus pasukan, Datuk Lim Teong Keat dan jurulatih beregu, Yap Kim Hock berlepas tanpa Misbun.
Tidak diketahui masalah `teknikal' yang menghalang jurulatih itu ke luar negara namun dia dikatakan berkaitan dengan masalah kewangan dengan beberapa institusi kewangan.
Mazlan turut enggan mengulas bentuk bantuan yang diberikan oleh MSN dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh jurulatih perseorangan negara itu.
Sementara itu, insiden tersebut agak mengejutkan kerana Misbun baru sahaja pulang dari Athens bulan lalu untuk meninjau veneu pertandingan.
Misbun sendiri dikatakan terkejut dengan larangan meninggalkan negara kerana larangan itu tidak dimaklumkan kepadanya oleh mana-mana pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan