ARKIB : 08/07/2003
SEANDAINYA keempat-empat wakil
perseorangan negara gagal membawa pulang gelaran dunia di Birmingham hujung
bulan ini, Misbun Sidek meramalkan kejuaraan badminton itu tidak mungkin
terlepas ke tangan pemain lain selain pemain-pemain China, juara Sukan Asia,
Taufik Hidayat atau Peter Gade-Christensen dari Denmark.
Ketua jurulatih perseorangan
kebangsaan itu juga menganggap bintang remaja Indonesia dan juara Asia, Sony
Dewi Kuncoro sebagai pemain yang perlu diberi perhatian pada kejohanan 28 Julai
hingga 3 Ogos ini.
``Keempat-empat pemain negara berkemampuan
membawa pulang kejuaraan, jadi saya ramalkan gelaran mungkin milik Malaysia,
China, Indonesia atau Denmark,'' kata Misbun pada sesi latihan di Stadium
Juara, Bukit Kiara semalam.
``Pemain-pemain China masih saya
anggap cabaran terkuat pertandingan, tidak kira sama ada ia adalah Chen Hong,
Xia Xuanze, Bao Chunlai atau Lin Dan.
``Peter Gade-Christensen pula
menjadi pilihan saya kerana dia merupakan pemain yang berpengalaman, ditambah
lagi kejohanan ini diadakan di Eropah.
``Sementara pemilihan Taufik
tidak perlu dipersoal, dia sentiasa menjadi pilihan dalam apa jua kejohanan
yang disertai, sementara rakan senegaranya, Sony Dewi Kuncoro pula sedang
meniti kejayaan terutama selepas muncul juara Asia.''
Menurut Misbun, ketiadaan
kejohanan antarabangsa dunia dalam tempoh yang panjang selepas Terbuka Jepun
dan Korea, April lalu menyukarkan mana-mana negara untuk membaca prestasi
semasa lawan.
Begitupun ramalan boleh
dilakukan, sekalipun ia tidak begitu tepat berdasarkan pencapaian dan kemajuan
yang ditunjukkan oleh pemain sejak awal 2003.
Kata Misbun lagi, beliau percaya
keempat-empat perseorangan Malaysia, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim,
Lee Tsuen Seng dan Mohd. Roslin Hashim juga menjadi perhatian negara lain.
Katanya, jika pemain negara
berusaha mengelak daripada menentang pemain utama dunia pada peringkat awal,
pemain-pemain itu juga cuba mengelak daripada bertemu salah seorang pemain
negara.
``Wong Choong Hann mempunyai
reputasinya sendiri. Dia adalah pemain nombor satu Malaysia, juara Terbuka
China dan ketika ini berada dalam keadaan paling stabil,'' kata Misbun.
``Saya benar-benar gembira dengan
prestasi yang ditunjukkannya sama ada ketika perlawanan dengan Korea atau sesi
latihan, dia cukup bersedia daripada segi mentaliti mahupun fizikal.
``Hafiz masih digeruni kerana
statusnya sebagai juara Seluruh England. Te-tapi, apa yang lebih penting pada
saya dia kini sudah kembali sepenuhnya ke prestasi asal selepas agak hanyut di
Terbuka Jepun dan Korea.
``Roslin dan Tsuen Seng juga
masih perlu diberi tumpuan. Kelebihan rali Roslin adalah senjata yang paling
menakutkan, kalau dia boleh membawa lawan beraksi lebih satu jam itu cukup
baik. Tsuen Seng pula pemain yang bijak, terutama dalam mengutip mata.
``Ramai yang bimbang kerana dia
mudah hilang rentak permainan, tetapi ketika menentang dengan Korea lalu dia
sudah membuktikan bagaimana dia mempunyai kekuatan untuk bertarung hingga ke
saat-saat akhir dalam keadaan yang terdesak.''
Pemain negara akan bertolak ke Birmingham
pada 24 Julai ini dan menurut Misbun, tempoh tiga minggu terakhir akan
digunakan untuk meningkatkan dos latihan pemain dalam usaha mengurangkan
kesilapan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d5GCJaqD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan