Sabtu, 15 April 2017

Jangan terlalu fikirkan mata - Misbun

ARKIB : 12/03/2004
BIRMINGHAM (England) - Ketua jurulatih negara Misbun Sidek mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu memikirkan mengenai pungutan mata kelayakan ke Olimpik sehingga gagal memberi tumpuan kepada pertandingan yang sedang disertai.
Beliau berkata berdasarkan suasana di dua pertandingan, Terbuka Switzerland yang berakhir minggu lepas dan Kejohanan Seluruh England yang sedang berlangsung di sini, pemain-pemain Malaysia gagal memberi tumpuan kerana terlalu memikirkan pungutan mata untuk layak ke Olimpik di Athens pada Ogos ini.
``Sepatutnya mereka memberi tumpuan kepada pertandingan yang sedang berlangsung dan bukan kejohanan yang akan datang. Jika mereka mencatat kemenangan, secara automatik pungutan mata mereka juga bertambah.
``Tetapi jika mereka gagal mencatat kemenangan pada kejohanan yang sedang disertai, sudah pasti pungutan mata mereka juga tidak bertambah. Malangnya ramai pemain tidak sedar hal ini,'' katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng dan Mohd Roslin Hashim adalah antara pemain negara yang agak goyah permainan mereka akibat terlalu berhati-hati untuk mencatat kemenangan demi mengejar mata ke Athens.
``Akibat terlalu berhati-hati, mereka akhirnya tumpas di pusingan kedua kecuali Roslin. Saya mengarahkan mereka yang masih tinggal untuk meneruskan perjuangan di pusingan berikut agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan (Seluruh England) ini. Merit ke Athens akan bertambah jika mereka cemerlang ke pusingan akhir,'' kata Misbun.
Misbun berkata masalah itu bukan sahaja membelenggu pemain-pemain Malaysia tetapi juga pemain negara lain.
Beliau berkata daripada perbualannya dengan jurulatih-jurulatih dari gergasi badminton Asia seperti China, Indonesia dan Korea Selatan, mereka juga turut menghadapi masalah yang sama.
``Cuba lihat persembahan Wong Choong Hann sewaktu tumpas kepada Muhammad Hafiz Hashim pada pusingan kedua semalam (Rabu). Permainannya goyah dan tidak menjadi. Choong Hann mengaku gagal memberi tumpuan kerana lebih memikirkan mata. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan