ARKIB : 29/04/2003
KETUA jurulatih perseorangan
negara, Misbun Sidek mengakui tumpuan pemainnya ke Kejohanan Dunia di
Birmingham bulan depan sedikit terjejas, bukan kerana kebimbangan terhadap
wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) sebaliknya kerana status kejohanan itu
yang tidak menentu.
Menurut Misbun, rata-rata pemainnya
mahu beraksi pada kejohanan di Birmingham 12-18 Mei itu dan tumpuan mereka kini
agak terganggu dengan pelbagai spekulasi bahawa ia mungkin ditunda kerana wabak
SARS.
Menurutnya lagi, beliau berharap
Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dapat mengesahkan status pertandingan
dalam masa terdekat ini bagi membolehkan pemain kembali menumpukan perhatian
kepada latihan mereka.
``Apa yang saya lihat selepas
berbincang dengan pemain, yang mereka risaukan sekarang bukan wabak SARS tetapi
sama ada kejohanan diteruskan atau ditunda,'' katanya ketika sesi latihan di
Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
``Saya percaya, tiada pemain yang
hendak kejohanan ini ditunda. Jelas mereka tidak sabar untuk beraksi pada
Kejohanan Dunia selepas dua tahun menunggu.''
Menurut Misbun, persiapan pemain
juga sudah hampir mencapai 100 peratus dan sebarang penundaan dalam tempoh
terdekat ini dianggap satu kerugian buat mereka.
Bagaimanapun tegasnya, beliau
sering mengingatkan pemain agar tidak terlalu memikirkan tentang status
kejohanan, sebaliknya meneruskan latihan seperti biasa.
Sementara itu ketua jurulatih
beregu, Yap Kim Hock lebih senang sekiranya kejohanan tidak ditunda
memandangkan pemain-pemainnya sudah melakukan persiapan penuh untuk
menghadapinya.
Malah katanya, para pemain juga
tidak menghadapi masalah untuk beraksi dan wabak SARS yang menimbulkan
kebimbangan di seluruh dunia tidak begitu menjejaskan mereka.
``Pemain memang harap sangat
kejohanan ini diteruskan kerana mereka sudah melakukan segala persiapan yang diperlukan
untuk menghadapi Kejohanan Dunia,'' katanya semalam.
``Apa pun saya fikir mereka perlu
mendapatkan penerangan mengenai situasi sebenar SARS, Birmingham dan pemain
yang akan mengambil bahagian pada kejohanan itu sebelum membuat sebarang
keputusan.''
Pengurus pasukan negara ke
Birmingham, Datuk Ronald Wong dan Pengarah Institut Sukan Negara, Dr. Ramlan
Aziz dijadual mengadakan pertemuan dengan para pemain negara esok untuk memberi
taklimat mengenai situasi SARS ketika ini.
Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) sebelum ini memberi kebebasan kepada pemain untuk membuat keputusan sama
ada mahu beraksi atau tidak.
Malah setiausaha agung BAM,
Gangga Rao ketika ditemui semalam tetap dengan pendiriannya bahawa pemain
berhak menentukan keputusan mereka, biarpun badan itu juga berhak membuat
keputusan sama ada menghantar pasukan atau tidak.
``Kita akan beri taklimat kepada
pemain Rabu ini dan mereka mungkin mempunyai pandangan sendiri selepas
mendengar penjelasan lanjut,'' kata Gangga.
``Begitupun, pertemuan Rabu ini
tidak semestinya akan mencapai satu keputusan. Mungkin kita hanya akan membuat
keputusan beberapa hari sebelum kejohanan, dua hari sebelum pertandingan
mungkin tempoh yang lebih sesuai.''
Juara Seluruh England, Muhammad Hafiz
Hashim akan mengetuai cabaran perseorangan negara bersama Wong Choong Hann dan
Lee Tsuen Seng.
Chan Chong Ming-Chew Choon Eng
pula menerajui beregu lelaki bersama Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, selain
perseorangan wanita, Wong Mew Choo dan beregu wanita, Chin Eei Hui-Wong Pet
Tty.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cuEIxqPf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan