Isnin, 26 November 2018

Misbun berbelah bahagi


 
ARKIB : 23/06/2009
Misbun berbelah bahagi
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my
Misbun Sidek

KUALA LUMPUR - Perasaan Datuk Misbun Sidek ketika ini amat berbelah bagi, sama ada mahu membenarkan Datuk Lee Chong Wei beraksi pada kejohanan sulung Mini Olimpik atau tidak.

Biarpun belum membuat keputusan, jurulatih badminton negara itu mengakui, beliau mungkin tidak punya pilihan, selain untuk membenarkan jaguh No. 1 dunia itu bermain.

Walaupun tidak menyatakannya secara terbuka, namun daripada nada yang diluahkan Misbun, ada 'hati' yang perlu dijaga, menyebabkan Chong Wei tidak dapat lari daripada temasya yang sudah terlalu hampir dengan Kejohanan Dunia.

Mini Olimpik, temasya yang melibatkan lapan sukan utama - badminton, akuatik, angkat berat, berbasikal, gimnastik, memanah, menembak dan olahraga akan diadakan dari 29 Julai hingga 9 Ogos, namun badminton akan berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Julai.

Kejohanan Dunia - kejohanan terbesar dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) - tahun ini pula akan bermula di Hyderabad, India dari 10-16 Ogos. Tiada pemain Malaysia pernah menang gelaran dunia, dan Chong Wei berharap dia mampu menjadi yang pertama.

Namun, persiapan jaguh dunia itu untuk menghadapi kejohanan tersebut sudah dipenuhi jadual pertandingan yang terlalu padat - dikerah beraksi dalam tiga kejohanan tanpa henti sebelum ini, Terbuka Singapura (9-14 Jun), Terbuka Indonesia (16-21 Jun) dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia pada 23-28 Jun ini.

Kurangnya latihan bertaraf tinggi meninggalkan Chong Wei tanpa pilihan, kecuali beraksi dalam sebanyak mungkin pertandingan antarabangsa, namun terpaksa bermain dalam satu lagi kejohanan bertaraf tempatan ketika Kejohanan Dunia sudah terlalu hampir, hanya menambah beban pemain utama negara itu.

"Pada masa sekarang, saya belum membuat keputusan. Ia bergantung kepada bagaimana keadaan dia (Chong Wei) selepas pulang dari Terbuka Malaysia (di Johor) nanti.

"Namun, sekiranya dia terpaksa mengikut kehendak persatuan dan beraksi, maka dia tidak punya pilihan dan kena bermain tetapi saya tidak mahu memberi tekanan kepada Chong Wei.

"Saya mahu dia anggap Mini Olimpik sebagai latihan. Kadang kala, latihan harian lagi keras daripada kejohanan, yang penting mental dia kena kuat,'' kata Misbun ketika dikunjungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di rumahnya semalam.

Begitupun Misbun mengakui belum berkesempatan menemui Chong Wei untuk berbincang mengenai perkara ini sejak pulang dari China minggu lalu dan hanya bertanya khabar pemain itu menerusi telefon.

"Malam ini dia akan bertolak ke Johor (untuk Terbuka Malaysia), jadi saya mungkin hanya berpeluang menemuinya minggu depan. Kami mungkin akan berbincang selepas itu,'' kata Misbun.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), P. Ganga Rao menegaskan, apa pun keputusan yang bakal diambil haruslah mengutamakan kepentingan pemain.

Begitupun akui Ganga, BAM pada masa yang sama perlu memberi sokongan kepada Mini Olimpik yang merupakan projek sulung Majlis Sukan Negara (MSN), apatah lagi temasya itu melibatkan atlet terbaik daripada tujuh sukan lain.

"Tarikh asal Mini Olimpik sebelum ini sudahpun diubah kerana badminton, jadi kami tidak boleh memberi lebih banyak alasan. Adalah penting untuk kami memberi sokongan kepada temasya itu kerana ia turut melibatkan beberapa sukan lain.

"Kami kena ambil kira keperluan semua pihak, keperluan pemain dan keperluan kerajaan. Kehadiran Chong Wei pada kejohanan ini dapat menaikkan semangat pemain lain, lagi pun jadual pertandingan tidaklah terlalu membebankan.

"Bagaimanapun, sebarang keputusan yang diambil mestilah mengutamakan kepentingan pemain. Kita tidak akan hantar pemain kalau mereka cedera atau berdepan risiko cedera, kita akan tengok situasi itu nanti,'' kata Ganga.

Kata Ganga, keputusan mengenai Chong Wei harus dibuat dengan berhati-hati kerana dia turut menjadi contoh kepada atlet yang lain, terutama kepada pemain-pemain badminton negara.

"Kalau Chong Wei diberi pengecualian, mungkin pemain atau atlet lain juga minta perkara yang sama, jadi kita kena tengok semua faktor. Dia akan menjadi contoh kepada yang lain,'' ujar Ganga lagi.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Misbun semalam dikunjungi Ahmad Shabery yang melawat keadaan isterinya, Latifah Sidek yang baru kembali dari China selepas dua bulan berada di negara itu, menjalani rawatan buah pinggang.

Selain mendoakan agar Latifah cepat sembuh, Ahmad Shabery turut memuji Misbun yang dianggap seorang yang tabah dan mempunyai kekuatan yang harus dicontohi oleh semua pihak, terutama atlet negara.

Ahmad Shabery juga sempat mengucapkan tahniah kepada Chong Wei dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui kerana mempamer semangat juang kental ketika muncul juara Terbuka Indonesia, kelmarin.

Turut sama mengunjungi Misbun dan isteri adalah Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XwtWvhxX
© Utusan Melayu (M) Bhd