Ahad, 17 November 2019

Ketua Jurulatih, Datuk Misbun Sidek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUKAN»Raket
Khamis, 4 Julai 2019 | 10:06pm
BAM masih tagih sentuhan Misbun
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menagih sentuhan Datuk Misbun Sidek bagi melahirkan pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei yang bersara bulan lalu.

Justeru, badan induk itu berhasrat memperbaharui kontrak ketua jurulatih perseorangan lelaki negara berkenaan yang tamat pada 30 Jun lalu.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chai, berkata pihaknya ketika ini di peringkat akhir rundingan bagi memperbaharui kontrak jurulatih berusia 59 tahun itu.

“Ya, kami berhasrat untuk menyambung kontrak Misbun tetapi kami masih dalam proses rundingan berhubung terma dalam kontrak. Jika semuanya dipersetujui, ia akan dimuktamad.

“Perkara ini juga akan dibawa dalam mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) yang diadakan, esok,” kata Michelle kepada BH Sukan.

Selepas meletak jawatan pada 2011, Misbun kembali ke pangkuan BAM pada Julai 2017 dengan beliau ditawarkan kontrak selama dua tahun bagi membantu melahirkan bintang baharu negara.

Sepanjang tempoh dua tahun ini, magis Misbun sudah mula membuahkan hasil apabila Lee Zii Jia kini bergelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara dengan dia menghuni ranking ke-18 dunia.

Di bawah bimbingan Misbun, Zii Jia yang berusia 21 tahun turut menghasilkan keputusan positif di pentas antarabangsa termasuk muncul juara Terbuka Taiwan dan naib juara Master Korea 2018.

Awal tahun ini, Zii Jia mara hingga suku akhir dalam empat kejohanan berturut-turut bermula Masters Thailand, Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jerman.

Dalam pada itu, Michelle turut memberitahu tiada sidang media akan diadakan selepas tamat mesyuarat C&T esok, sebaliknya ia akan diadakan keesokan harinya sebaik selesai mesyuarat Ahli Majlis BAM.

“Semua keputusan dibuat dalam mesyuarat C&T esok akan diumumkan ketika sidang media selepas mesyuarat ahli majlis. Ia lebih mudah untuk pihak media,” kata Michelle.[i]




[i] https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2019/07/581314/bam-masih-tagih-sentuhan-misbun