ARKIB : 23/06/2009
Misbun berbelah bahagi
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my
Misbun Sidek
KUALA LUMPUR - Perasaan Datuk
Misbun Sidek ketika ini amat berbelah bagi, sama ada mahu membenarkan Datuk Lee
Chong Wei beraksi pada kejohanan sulung Mini Olimpik atau tidak.
Biarpun belum membuat keputusan,
jurulatih badminton negara itu mengakui, beliau mungkin tidak punya pilihan,
selain untuk membenarkan jaguh No. 1 dunia itu bermain.
Walaupun tidak menyatakannya
secara terbuka, namun daripada nada yang diluahkan Misbun, ada 'hati' yang
perlu dijaga, menyebabkan Chong Wei tidak dapat lari daripada temasya yang
sudah terlalu hampir dengan Kejohanan Dunia.
Mini Olimpik, temasya yang melibatkan
lapan sukan utama - badminton, akuatik, angkat berat, berbasikal, gimnastik,
memanah, menembak dan olahraga akan diadakan dari 29 Julai hingga 9 Ogos, namun
badminton akan berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Julai.
Kejohanan Dunia - kejohanan
terbesar dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) - tahun ini pula akan
bermula di Hyderabad, India dari 10-16 Ogos. Tiada pemain Malaysia pernah
menang gelaran dunia, dan Chong Wei berharap dia mampu menjadi yang pertama.
Namun, persiapan jaguh dunia itu
untuk menghadapi kejohanan tersebut sudah dipenuhi jadual pertandingan yang
terlalu padat - dikerah beraksi dalam tiga kejohanan tanpa henti sebelum ini,
Terbuka Singapura (9-14 Jun), Terbuka Indonesia (16-21 Jun) dan Grand Prix Emas
Terbuka Malaysia pada 23-28 Jun ini.
Kurangnya latihan bertaraf tinggi
meninggalkan Chong Wei tanpa pilihan, kecuali beraksi dalam sebanyak mungkin
pertandingan antarabangsa, namun terpaksa bermain dalam satu lagi kejohanan
bertaraf tempatan ketika Kejohanan Dunia sudah terlalu hampir, hanya menambah
beban pemain utama negara itu.
"Pada masa sekarang, saya
belum membuat keputusan. Ia bergantung kepada bagaimana keadaan dia (Chong Wei)
selepas pulang dari Terbuka Malaysia (di Johor) nanti.
"Namun, sekiranya dia terpaksa
mengikut kehendak persatuan dan beraksi, maka dia tidak punya pilihan dan kena
bermain tetapi saya tidak mahu memberi tekanan kepada Chong Wei.
"Saya mahu dia anggap Mini
Olimpik sebagai latihan. Kadang kala, latihan harian lagi keras daripada kejohanan,
yang penting mental dia kena kuat,'' kata Misbun ketika dikunjungi Menteri
Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di rumahnya semalam.
Begitupun Misbun mengakui belum
berkesempatan menemui Chong Wei untuk berbincang mengenai perkara ini sejak pulang
dari China minggu lalu dan hanya bertanya khabar pemain itu menerusi telefon.
"Malam ini dia akan bertolak
ke Johor (untuk Terbuka Malaysia), jadi saya mungkin hanya berpeluang
menemuinya minggu depan. Kami mungkin akan berbincang selepas itu,'' kata Misbun.
Sementara itu Setiausaha Agung
Persatuan Badminton Malaysia (BAM), P. Ganga Rao menegaskan, apa pun keputusan
yang bakal diambil haruslah mengutamakan kepentingan pemain.
Begitupun akui Ganga, BAM pada
masa yang sama perlu memberi sokongan kepada Mini Olimpik yang merupakan projek
sulung Majlis Sukan Negara (MSN), apatah lagi temasya itu melibatkan atlet
terbaik daripada tujuh sukan lain.
"Tarikh asal Mini Olimpik
sebelum ini sudahpun diubah kerana badminton, jadi kami tidak boleh memberi
lebih banyak alasan. Adalah penting untuk kami memberi sokongan kepada temasya
itu kerana ia turut melibatkan beberapa sukan lain.
"Kami kena ambil kira
keperluan semua pihak, keperluan pemain dan keperluan kerajaan. Kehadiran Chong
Wei pada kejohanan ini dapat menaikkan semangat pemain lain, lagi pun jadual
pertandingan tidaklah terlalu membebankan.
"Bagaimanapun, sebarang
keputusan yang diambil mestilah mengutamakan kepentingan pemain. Kita tidak
akan hantar pemain kalau mereka cedera atau berdepan risiko cedera, kita akan
tengok situasi itu nanti,'' kata Ganga.
Kata Ganga, keputusan mengenai
Chong Wei harus dibuat dengan berhati-hati kerana dia turut menjadi contoh
kepada atlet yang lain, terutama kepada pemain-pemain badminton negara.
"Kalau Chong Wei diberi
pengecualian, mungkin pemain atau atlet lain juga minta perkara yang sama, jadi
kita kena tengok semua faktor. Dia akan menjadi contoh kepada yang lain,'' ujar
Ganga lagi.
Sementara itu dalam perkembangan
berkaitan, Misbun semalam dikunjungi Ahmad Shabery yang melawat keadaan
isterinya, Latifah Sidek yang baru kembali dari China selepas dua bulan berada
di negara itu, menjalani rawatan buah pinggang.
Selain mendoakan agar Latifah
cepat sembuh, Ahmad Shabery turut memuji Misbun yang dianggap seorang yang
tabah dan mempunyai kekuatan yang harus dicontohi oleh semua pihak, terutama
atlet negara.
Ahmad Shabery juga sempat
mengucapkan tahniah kepada Chong Wei dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei
Hui kerana mempamer semangat juang kental ketika muncul juara Terbuka
Indonesia, kelmarin.
Turut sama mengunjungi Misbun dan
isteri adalah Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan
Aziz.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5XwtWvhxX
© Utusan Melayu (M) Bhd