ARKIB : 10/12/2009
VIENTIANE - Bagi jurulatih
perseorangan negara, Misbun Sidek, ketiadaan jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong
Wei pada Sukan SEA XXV Laos tidak sepatutnya hanya dilihat dari sudut negatif,
sebaliknya ada hikmah.
Tanpa Chong Wei, pasukan negara
tidak mempunyai pilihan dalam membariskan pemain perseorangan, kecuali terpaksa
menurunkan semua pemain yang ada apabila acara berpasukan bermula, Khamis ini.
Keadaan tersebut sekali gus
membuka peluang kepada pemain pelapis negara, Liew Darren untuk membuat
penampilan sulung pada Temasya sukan dwi tahunan itu.
Andai dilihat dari sudut positif,
pendedahan yang diperoleh Darren di Vientiane mampu digunakan untuk membentuk
pasukan yang lebih baik apabila Malaysia menganjurkan Piala Thomas, tahun
depan.
"Orang selalu tengok dari
sudut negatifnya, tiada Chong Wei maka kita hilang satu emas. Mereka tidak
nampak pula yang positif, bila Chong Wei tiada, sudah pasti Liew Darren
terpaksa beraksi dalam acara berpasukan, ia adalah pendedahan yang baik buat
pemain muda itu.
"Tahun depan Malaysia akan
menjadi tuan rumah Piala Thomas, jadi sekarang adalah masa terbaik untuk
melihat kemampuan Darren dan mengujinya sebelum diserap dalam skuad
utama," kata Misbun.
Malah, Misbun percaya Malaysia
masih mampu memenuhi sasaran dua pingat emas sekalipun tanpa Chong Wei dengan
sandaran terbaik adalah dalam acara beregu wanita, perseorangan wanita serta
beregu lelaki.
Ujarnya, Wong Mew Choo kini
berada di tahap keyakinan yang tinggi untuk merampas kembali kejuaraan Sukan
SEA yang pernah dimenangi pada Temasya 2005. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz5YgfaFT23
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan