Sabtu, 8 Februari 2020

Misbun jurulatih terbaik: Chong Wei

MyMetroArena
 
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
‘BENIH yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau’.

Pepatah itu bersesuaian untuk menggambarkan wibawa Datuk Misbun Sidek selepas dilantik menjadi Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan dan ia turut dipersetujui bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Tidak kisah beliau diletakkan di bahagian mana sekali pun, beliau adalah jurulatih terbaik. Selepas menerima tugasan baharu itu saya yakin beliau akan memberikan yang terbaik,” kata Chong Wei ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu seakan-akan sudah masak dengan perwatakan Misbun yang mendidiknya sehingga berjaya berada pada kelas tersendiri di arena antarabangsa.

Ditanya adakah pemain remaja negara akan sentiasa dibayangi dengan ketegasan Misbun, Chong Wei mengakui bahawa itulah perwatakan sebenar legenda badminton negara.

“Memang mereka akan berasa takut, Misbun adalah legenda dan jurulatih nombor satu dalam Malaysia. Bukan mudah untuk sesiapa saja menjadi jurulatih membimbing pemain negara.

“Beliau mendidik saya sehingga menjadi pemain nombor satu dunia dan memenangi gelaran. Bukan saja pemain remaja, semua akan menghormati beliau termasuk saya sendiri kerana beliau yang menaikkan nama saya,” katanya.

Chong Wei yang bakal menjadi Chef-de-Mission ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata, hubungan beliau dengan Misbun lebih daripada pemain dengan jurulatih.

“Beliau bukan seperti jurulatih, tapi bapa kepada saya. Bukan senang untuk membina hubungan rapat,” katanya.

Misbun, 59, sebelum ini adalah ketua jurulatih perseorangan lelaki sebelum dilantik memegang jawatan baharu itu baru-baru ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:01 AM

Selasa, 7 Januari 2020

Misbun tetap 'sifu' terbaik - Chong Wei


Simpan Artikel
MyMetroArena
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui Datuk Misbun masih lagi jurulatih terbaik pernah dikenali dan menganggap seperti bapanya sendiri.

Menurut Chong Wei, walau di manapun Misbun diletakkan di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau tetap memberi sokongan padu serta menganggap siapa

berada di bawah bimbingan pemain legenda itu sebagai individu paling bertuah.

"Beliau seperti ayah saya, tidak kisah di mana beliau berada saya sentiasa memberi sokongan. Beliau pemain dan jurulatih bertaraf legenda. Kami sentiasa berjumpa untuk berbincang hal berkaitan peribadi," katanya ketika ditemui di Arena Axiata hari ini.

Ujar Chong Wei, jika Misbun menjadi jurulatih di peringkat remaja sekali pun, bekas jurulatihnya itu akan sentiasa mencari pemain berbakat.

"Kita tidak pernah lupa jasanya mendidik bekas pemain seperti Rashid Sidek, Roslin Hashim, Hafiz Hashim dan saya sendiri. "Letak saja beliau di mana sekali pun beliau tetap paling terbaik. Kami mempunyai pertalian darah sama iaitu demi badminton negara. Siapa berada di bawah bimbingannya sangat bertuah. Didikannya kepada pemain remaja diterapkan dengan penuh berdisiplin," katanya.

Ditanya mengenai BAM menyingkirkan tujuh pemain baru-baru ini, Chong Wei menasihati kesemua individu berkenaan agar jangan putus asa.

"Saya tidak boleh komen mengenai isu ini kerana ia keputusan pihak pengurusan (BAM). Siapa digugurkan diharap tidak berputus asa. Mungkin BAM mengeluarkan penyelesaian siapa yang bagus di peringkat antarabangsa dipertimbangkan akan masuk semula.

"Mereka yang digugurkan masih ada peluang untuk kembali berjuang dan tidak kisah di dalam atau luar BAM, mereka masih lagi mewakili negara," katanya.

Tujuh pemain yang disingkirkan sebelum ini ialah Soong Joo Ven, Tan Jia Wei, Ziyad Md Tah (perseorangan lelaki), Ong Yew Sin, Teo Ee Yi (beregu lelaki), Lim Peiy Yee dan Lim Chiew Sien (beregu wanita).

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 8:22 PM

Sabtu, 28 Disember 2019

Misbun calon pilihan BAM

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek antara calon pilihan yang ingin dipujuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan.Pemilihan Misbun itu dibuat selepas badan induk negara berkenaan terpaksa menolak calon sebelum ini iaitu bekas jaguh perseorangan Denmark Morten Frost Hansen.

Antara yang menyebabkan BAM terpaksa melupakan Frost adalah permintaan gaji terlalu tinggi iaitu kira-kira RM100,000 sebulan yang dimahukan oleh juara Seluruh England empat kali itu.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan yang dipengerusikan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kelmarin.
 Foto
MISBUN (kanan) bertanggungjawab bina karier cemerlang Chong Wei.
Turut hadir, jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei yang mewakili pemain.Menurut sumber, kegagalan mendapatkan Frost mendorong BAM untuk mencari calon pengganti lain dan antara yang menjadi pilihan adalah Misbun.Namun usaha untuk mendapatkan Misbun bukan mudah dan atas faktor itu, BAM mungkin memerlukan bantuan pihak luar bagi memujuk bekas jurulatih negara itu.

Misbun cukup dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab membina karier cemerlang Chong Wei.
 Bagaimanapun beliau membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan pada 2011 kerana dikatakan sudah tidak senang dengan pengurusan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

MYMETRO ONLINE 15.2.14

Ahad, 17 November 2019

Ketua Jurulatih, Datuk Misbun Sidek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUKAN»Raket
Khamis, 4 Julai 2019 | 10:06pm
BAM masih tagih sentuhan Misbun
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menagih sentuhan Datuk Misbun Sidek bagi melahirkan pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei yang bersara bulan lalu.

Justeru, badan induk itu berhasrat memperbaharui kontrak ketua jurulatih perseorangan lelaki negara berkenaan yang tamat pada 30 Jun lalu.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chai, berkata pihaknya ketika ini di peringkat akhir rundingan bagi memperbaharui kontrak jurulatih berusia 59 tahun itu.

“Ya, kami berhasrat untuk menyambung kontrak Misbun tetapi kami masih dalam proses rundingan berhubung terma dalam kontrak. Jika semuanya dipersetujui, ia akan dimuktamad.

“Perkara ini juga akan dibawa dalam mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) yang diadakan, esok,” kata Michelle kepada BH Sukan.

Selepas meletak jawatan pada 2011, Misbun kembali ke pangkuan BAM pada Julai 2017 dengan beliau ditawarkan kontrak selama dua tahun bagi membantu melahirkan bintang baharu negara.

Sepanjang tempoh dua tahun ini, magis Misbun sudah mula membuahkan hasil apabila Lee Zii Jia kini bergelar pemain perseorangan lelaki nombor satu negara dengan dia menghuni ranking ke-18 dunia.

Di bawah bimbingan Misbun, Zii Jia yang berusia 21 tahun turut menghasilkan keputusan positif di pentas antarabangsa termasuk muncul juara Terbuka Taiwan dan naib juara Master Korea 2018.

Awal tahun ini, Zii Jia mara hingga suku akhir dalam empat kejohanan berturut-turut bermula Masters Thailand, Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jerman.

Dalam pada itu, Michelle turut memberitahu tiada sidang media akan diadakan selepas tamat mesyuarat C&T esok, sebaliknya ia akan diadakan keesokan harinya sebaik selesai mesyuarat Ahli Majlis BAM.

“Semua keputusan dibuat dalam mesyuarat C&T esok akan diumumkan ketika sidang media selepas mesyuarat ahli majlis. Ia lebih mudah untuk pihak media,” kata Michelle.[i]




[i] https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2019/07/581314/bam-masih-tagih-sentuhan-misbun

Isnin, 21 Oktober 2019

Usaha Misbun berhasil


ARKIB : 23/05/1998
USAHA Misbun Sidek melatih Roslin Hashim sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain Kelantan berusia 23 tahun itu menjadi wira, mengutip mata kemenangan negara pada perlawanan separuh akhir bertemu Denmark di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, semalam.
Pertemuan sengit yang menyaksikan kedua-dua negara terikat 2-2 akhirnya menjadi milik Malaysia setelah Roslin menewaskan pemain muda Denmark, Kenneth Jonassen 15-18, 15-5, 15-8 selepas bertarung selama 65 minit.
''Saya tahu Roslin boleh memenangi pertemuan ini kerana dia sudah bersedia. Dia sudah sampai ke tahap permainan yang tinggi dan pada peringkat ini, dia mampu membuat kejutan,'' katanya yang menjadi orang paling gembira dengan kemenangan itu.
Menurut Misbun, dia tidak bimbang dengan permainan Roslin tetapi risau tentang tahap tumpuan pemain itu dan kemampuannya mengawal perasaan takut dengan tanggungjawab berat yang dipikulnya sebagai perseorangan ketiga.
''Saya tidak bimbang permainannya tetapi bimbang dengan orangnya kerana dalam keadaan seperti tadi, perasaan takut boleh mengatasi segala kemampuannya dan menyebabkan dia hilang tumpuan.
''Sekiranya ini berlaku, dia tidak mungkin boleh menang,'' ujarnya.
Roslin mendapat tunjuk-ajar secara peribadi daripada Misbun selepas pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir 1996.
Sementara itu, Roslin menerima panggilan daripada penaung BAM, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohammad Ali sebaik memenangi perlawanan tersebut.
Menurut Roslin, Dr. Siti Hasmah yang menyaksikan perlawanan yang dipancarkan secara langsung oleh Radio Television Malaysia (RTM) mengucapkan tahniah kepadanya dan semua pemain negara yang membawa cabaran ke kejohanan Piala Thomas ke-20 itu.
''Dia (Dr. Siti Hasmah) mengucapkan tahniah dan berharap semua pemain mempamerkan permainan yang lebih baik di perlawanan akhir nanti,'' katanya.
Menjelaskan mengenai pertemuannya, dengan Kenneth Jonassen itu, Roslin berkata, dia terasa agak tertekan pada set pertama kerana hilang beberapa mata kepada pemain Denmark itu.
Tetapi menurutnya, dia bangkit pada set kedua untuk menang 15-5 bagi memaksa perlawanan diteruskan ke set penentuan.
Menurut pemain yang mempunyai kelebihan dari segi pertahanan, pada masa rehat selepas set kedua itu, Misbun memberi arahan agar bermain dengan tenang dan menanti peluang untuk mematikan lawan sebaik mungkin.
''Dia menasihatkan saya supaya tidak kelam kabut ketika digelanggang dan menggunakan kelebihan saya bermain rali untuk mematahkan pertahanan lawan,'' katanya yang mengakui permainan ralinya menjadi sepanjang perlawanan itu.

Ahad, 20 Oktober 2019

Misbun kurang senang sikap Morten Frost


ARKIB : 08/05/1998

MISBUN


JURULATIH kelab badminton profesional Nusa Mahsuri, Misbun Sidek menyelar kelancangan mulut Morten Forst Hansen yang menganggap adiknya pengecut dan tidak bersemangat patriotik ketika menyatakan penarikan diri daripada skuad Piala Thomas negara, minggu lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Misbun juga mempertikaikan hak Frost untuk bersikap seperti 'diktator' apabila memberikan tekanan berterusan terhadap adiknya itu supaya mendapatkan satu mata menerusi acara perseorangan tanpa mengira walau dengan apa cara sekalipun.
''Apa haknya untuk menekan Rashid sebegitu sekali sedangkan adik saya di bawah naungan sebuah kelab yang profesional, Nusa Mahsuri dan saya sendiri yang sering membimbingnya.
''Mengapa mesti dia berbuat begitu? Ini seolah-olah menggambarkan dia sendiri kurang pasti sama ada pemain di bawah bimbingannya seperti Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin mampu menyumbangkan mata daripada acara perseorangan,'' kata Misbun lagi.
Ujar bekas jaguh negara itu, Rashid menjelaskan kepadanya bahawa dia sudah tidak mampu lagi dibebankan dengan tekanan orang luar walaupun pelbagai cara sudah dicuba untuk mengatasinya ketika sesi latihan harian.
''Bayangkan jika dalam latihan pun, Rashid tewas dengan mudah kepada Roslin Hashim (seorang lagi pemain Nusa). Malah pukulan lawan semakin sukar dijangkau Rashid lagi kerana jiwanya terkongkong dengan sikap keras Frost itu.
Tambah Misbun, Rashid menyatakan pengunduran diri daripada skuad ke Hong Kong itu dengan cara profesional dan ada 'hitam putihnya' (surat rasmi).
''Tetapi bagaimana dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia)? Hingga hari ini (semalam), saya tidak nampak satu surat jawapan rasmi pun dihantar ke kelab Nusa yang mengesahkan pengguguran Rashid terus daripada skuad negara akibat keputusan penarikan dirinya itu.
''Nusa Mahsuri merupakan pertubuhan berdaftar. Kami juga ada protokol, penaung dan presiden. Apakah BAM boleh melayan kami dengan cara begini?'' bidas Misbun.
Misbun menegaskan, yang anehnya ialah Frost sendiri tidak pernah bersemuka dengannya untuk membincangkan soal Rashid itu sejak isu penarikan diri adiknya timbul, minggu lalu.
Harapan Nusa kini tergantung penuh kepada Roslin selaku perseorangan ketiga biarpun anak didik Misbun itu dijangka menghadapi pemain ternama pasukan lawan yang lebih tinggi kedudukan dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
''Saya sedar lawan Roslin nanti terdiri daripada Ahn Jae Chang, Joko Suprianto dan Dong Jiong yang memang diakui mempunyai kelebihan atas kertas (rekod pertemuan lalu).
''Namun Roslin sentiasa menghargai setiap sen orang ramai yang dipungut ketika mencari wang pampasan RM60,000 untuk melepaskan diri daripada kontrak BAM lalu.
''Mungkin itulah yang terus menjadi tunjang dan pembakar semangat perjuangannya apabila menggantikan tempat Rashid untuk menyumbangkan kejayaan buat skuad negara,'' jelas Misbun.

Rabu, 30 Januari 2019

Terengganu pelawa Misbun


ARKIB : 05/05/2011
sukan@utusan.com.my

Ahmad Said beramah mesra dengan pelumba-pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team pada majlis perasmian pejabat baru pasukan itu di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU - Bekas jurulatih perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek dipelawa menjadi jurulatih akademi badminton yang bakal diwujudkan di negeri ini.

Tawaran itu dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selepas merasmikan pejabat baru pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) di Bangunan EPIC di sini, semalam.

Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum memutuskan mengenai perkara itu tetapi sekadar menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Misbun bagi mengendalikan tugas kejurulatihan di akademi berkenaan.

Buat masa ini, jelasnya, beliau akan meneliti terlebih dahulu perkara itu sebelum perkembangan dan langkah selanjutnya.

"Kita alu-alukan Misbun untuk jadi jurulatih di akademi badminton ini. Kita akan tengok dulu kerana kita tak mahu seolah-olah 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad seterusnya tidak menolak kemungkinan menerima Misbun, jika jaguh badminton negara itu menghubunginya bagi menyatakan persetujuannya untuk menjadi jurulatih.

Kelmarin, Ahmad berkata, kerajaan Terengganu berhasrat mewujudkan akademi badminton di negeri itu untuk melatih pemain dari peringkat usia 12 hingga 18 tahun sebagai pelapis di negeri berkenaan.

Selain itu katanya, penubuhan akademi itu turut bertujuan melahirkan ramai jaguh badminton negara kelahiran Terengganu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9z4w9bx
© Utusan Melayu (M) Bhd